Peminjam PTPTN hilang kerja boleh struktur semula bayaran

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang kehilangan pekerjaan diminta merujuk institusi itu untuk penstrukturan semula bayaran bagi membantu meringankan beban mereka.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya memahami beban yang ditanggung anak muda pada masa kini lebih-lebih lagi bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.

"Saya minta supaya mereka yang tidak mampu bayar datang bertemu dan kita boleh susun semula struktur pembayaran tersebut.

"Kita akan pastikan betul-betul mereka tak mampu dan kita boleh bantu. Masalah sekarang sebab mereka takut untuk berjumpa PTPTN dan akhirnya memilih untuk tidak bayar. Datang bincang dan insya-ALLAH kita akan memudahkan proses mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 peringkat negeri Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Amiruddin Hamzah; Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Zaimi Abu Bakar; Timbalan Ketua Eksekutif (Kewangan dan Khidmat Sokongan) PTPTN, Azhar Ahmad dan Timbalan Pegawai Pendidikan, Pejabat Pendidikan Pekan, Zaifol Bahrizan Mohamad Zan.

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful berkata, pihaknya sedang berusaha untuk berhubung dengan semua kerajaan negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi membincangkan perancangan strategik 2020.

"Kami akan hubungi kerajaan negeri seluruh negara untuk maklumkan semua insentif PTPTN termasuk ke arah membuka kaunter SSPN di jabatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Alangkah baik jika ada hadiah daripada kerajaan negeri masing-masing terutama yang termasuk kategori B40. Kita akan berusaha ke arah mewujudkan skim itu dengan kerjasama semua kerajaan negeri.

"Kalau boleh untuk semua anak yang lahir tahun depan, dah terus buka akaun SSPN. Kami akan perkasakan langkah menggalakkan penabungan termasuk umur baru lahir dalam SSPN-i sekurang-kurangnya RM20 sebulan," katanya.