APMM Johor selamatkan nelayan Indonesia terputus hubungan

Bot dan nelayan indonesia yang diselamatkan APMM Johor, semalam.
Bot dan nelayan indonesia yang diselamatkan APMM Johor, semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menemui seorang nelayan warga Indonesia yang dipercayai hilang sejak empat hari lalu.

Nelayan dikenali sebagai Abdul Rahman, 51, ditemui selamat di perairan kira-kira 15 batu nautika selatan Tanjung Laboh, Batu Pahat pada 3.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, operasi menyelamat itu dijalankan selepas bot yang digunakan nelayan berkenaan terputus hubungan dipercayai berpunca akibat enjin gagal berfungsi.

"Difahamkan Badan SAR Nasional Indonesia (Basarnas) menggerakkan usaha mencari mangsa sejak 23 September lalu setelah mangsa terputus hubungan.

“APMM Johor dan Basarnas seterusnya membuat pertemuan di sempadan perairan negara untuk proses penyerahan mangsa dan bot kira-kira jam 9.20 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aminuddin berkata, ketika ditemui mangsa juga difahamkan dalam keadaan lemah kerana tidak makan selama dua hari.

"Menerusi usaha ini, APMM selaku peneraju dan agensi bertanggungjawab mengkordinasikan operasi cari dan menyelamat (SAR) di perairan negara akan terus komited untuk meningkatkan kerjasama dengan agensi SAR serantau.

“Kami juga ingin menasihati orang ramai untuk mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti di laut. Sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian MERS 999 supaya bantuan dapat diatur gerak segera,” katanya.

Artikel Berkaitan: