Warga emas rugi RM500,000 ditipu Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki warga emas kerugian lebih RM500,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, lelaki berusia 64 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada 20 September lalu yang memperkenalkan diri sebagai 'Nadiah Nizam' dari Pejabat Pos Kuantan, Pahang.

"Wanita itu beritahu bungkusan milik mangsa berisi kad pengenalan dan kad kredit yang didakwa untuk dihantar ke Kuching, Sarawak telah ditahan di Jabatan Kastam Kuantan, Pahang atas alasan keselamatan.

"Mangsa menafikan perkara itu dan panggilan itu disambungkan ke Balai Polis Kuantan. Mangsa bercakap pula dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Andy Lho Tin Hao. Lelaki itu memaklumkan mangsa mempunyai waran tangkap kerana terlibat dengan kes penggubahan wang haram," katanya kepada Sinar Harian.

Aibee berkata, pada 23 September lalu, mangsa sekali lagi dihubungi 'polis' lain dan memberitahu waran tangkap terhadap mangsa dan surat daripada Jabatan Audit Negara telah dikeluarkan.

Katanya, mangsa didakwa telah bersubahat dengan penjenayah bernama Danny Wong dan diminta membuat empat transaksi ke dalam tiga akaun bank yang diberikan pada hari yang sama.

"Semalam mangsa sekali lagi dihubungi seorang individu yang menyamar sebagai inspektor yang memintanya mengeluarkan pula wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Mangsa sedar ditipu selepas isterinya menasihatkan untuk buat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Nilai, semalam. Jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM551,111.39," katanya.

Artikel Berkaitan:

Aibee berkata, polis sedang mengesan dua individu dikenali sebagai Muhamad Hasim Zulfahmi dan Norhayati Abdullah bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.