X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat dijangka tanggung beban kenaikan tarif air

Rizam
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Selangor semakin dihimpit tekanan dengan pengumuman kerajaan negeri berhubung pemberian air secara bersasar malah Kementerian Air Tanah dan Sumber Asli turut bercadang menaikkan tarif air di seluruh negara tidak lama lagi.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail berkata, sekiranya cadangan itu dipersetujui kerajaan negeri, sudah tentu rakyat merasai kesan kenaikan terbabit.

"Isi rumah yang sebelum ini mendapat air percuma turut terpaksa menanggung dua kali kenaikan dalam bil air bulanan," katanya.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, Skim Air Darul Ehsan hanya menyebabkan berlakunya banyak keciciran kepada isi rumah terutama golongan memerlukan kerana tidak mengetahui tentang pelaksanaan skim terbabit.

Malah tegas beliau, lebih dikesalkan mereka yang memenuhi syarat tidak layak secara automatik.

"Isi rumah terdiri dalam kalangan mereka layak terpaksa membuat permohonan bagi membolehkan mereka menikmati pemberian air percuma ini," katanya.

Rizam berkata, penjajaran baru pemberian air percuma bukanlah perkara baru kerana telah dinyatakan dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2019 pada tahun lalu.

Menurutnya, lebih menghairankan perkara itu terjadi apabila kerajaan negeri mengambil alih semua syarikat dan aset berkaitan pembekalan air di negeri ini dengan harga yang sangat tinggi.

"Apabila kesemua aset ini telah menjadi milik negeri seharusnya lebih mudah untuk kerajaan Selangor meneruskan pemberian air percuma," katanya.

Katanya, rakyat masih belum lupa bagaimana Pakatan Harapan (PH) menggunakan modal pemberian air percuma di Selangor untuk memancing undi di negeri-negeri lain dengan memberi gambaran kononnya kerajaan negeri apabila dikuasai PH akan turut menggunakan model sama bagi memberi air percuma kepada rakyat.

"Namun selepas menawan bukan sahaja negeri-negeri lain malah menubuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan lain pula jadinya.

"Pemberian air percuma di Selangor yang kononnya akan menjadi model kepada pentadbiran negeri lain akhirnya kini diterhadkan kepada kumpulan rakyat tertentu sahaja," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya isi rumah bawah RM4,000 layak nikmati air percuma di Selangor


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus