Hanya isi rumah bawah RM4,000 layak nikmati air percuma di Selangor

Amirudin Shari
A
A

SHAH ALAM - Hanya penduduk dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah layak menikmati Skim Pemberian Air Percuma ditawarkan kerajaan Selangor bermula 1 Mac depan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan supaya penjajaran semula Program Pemberian Air Percuma pada 23 November lalu bagi mencapai matlamat sebenar meringankan beban kumpulan sasar yang memerlukan dan layak.

Menurutnya, keputusan itu diambil di atas faktor peningkatan jumlah penduduk yang memberi kesan besar kepada jumlah kewangan dibelanjakan bagi menampung subsidi bantuan tersebut.

"Selepas penjajaran semula, bantuan hanya disasarkan kepada golongan memerlukan di samping menjamin perbelanjaan subsidi bersasar yang tepat. Penjajaran ini perlu bagi menjana pembangunan dan kedudukan kewangan yang mampan.

"Bagi memastikan program ini menepati objektif perlaksanaannya dan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri ke arah perbelanjaan yang berkualiti, penjajaran semula Program Pemberian Air Percuma akan dikuatkuasakan bermula 1 Mac depan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, skim itu menyasarkan pengguna domestik yang mempunyai meter individu selain syarat kelayakan iaitu pengguna di pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal adalah sama, namun permohonan perlu mendapat pengesahan daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

"Setiap pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun air atau premis. Pengguna yang memenuhi syarat boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui laman web Sistem Smart lnisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) www.ssipr.selangor.gov.my atau mengisi borang permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan yang boleh dimuat turun menerusi laman sesawang www.airselangor.com.

"Permohonan juga bolah dibuat menerusi kaunter perkhidmatan di pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan pendaftaran Skim Air Darul Ehsan bermula Isnin ini dan berakhir 31 Disember ini," katanya.

Amiruddin berkata, borang permohonan yang diisi dengan lengkap boleh dihantar melalui emel kepada iprair@airselangor.com atau diserahkan di mana-mana Kaunter Perkhidmatan pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor.

"Proses pendaftaran ini adalah untuk mengumpul dan mengemaskini semua data pemohon Skim Air Darul Ehsan dan bagi proses pengesahan pemohon yang layak melalui semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Proses semakan silang hanya akan bermula selepas tarikh tutup permohonan dan pemohon akan dimaklumkan berkenaan status permohonan mereka selewat-lewatnya penghujung Februari 2020," katanya.

Katanya, sehingga tarikh tersebut kesemua 1.6 juta pengguna yang sedang menikmati Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu akan terus menikmati rebat sehingga 29 Februari depan.

Terdahulu, bermula 1 Jun 2008, kerajaan Selangor melaksanakan Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu pertama bersamaan RM 11.40 setiap bulan kepada semua pengguna domestik bermeter individu di Selangor.

Penghuni rumah pangsa menggunakan meter pukal yang layak turut menikmati program air percuma ini bermula dari Jun 2010.

Sehingga 31 Disember 2018, sebanyak RM 1.8 bilion dibelanjakan bagi melaksanakan Program Pemberian Air Percuma ini manakala, sepanjang tahun ini kos pelaksanaan Program Pemberian Air Percuma ini dijangka terus meningkat sehingga mencecah RM220 juta.