Permusuhan terhadap umat Islam ciptaan Israel: Mahathir

Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Debat Umum sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-74 di Ibu Pejabat PBB pada Jumaat. 
-Foto Bernama
Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Debat Umum sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-74 di Ibu Pejabat PBB pada Jumaat. 
-Foto Bernama
A
A
A

NEW YORK - Malaysia tidak boleh menerima tindakan Israel yang terang-terang merampas bumi Palestin secara zalim untuk mendirikan penempatan mereka serta pendudukan Baitulmaqdis oleh rejim zionis, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menarik perhatian mengenai nasib malang rakyat Palestin yang langsung tidak dapat memasuki penempatan yang dibina di atas tanah mereka.

Malaysia, katanya, menerima negara Israel sebagai ketentuan yang harus diterima tetapi menegaskan bahawa disebabkan tindakan Israel, kini terdapat sikap prasangka terhadap agama Islam dan umat Islam.

"Umat Islam dituduh melakukan keganasan walaupun mereka tidak berbuat demikian. Negara Islam mengalami ketidakstabilan melalui kempen untuk mengubah demokrasi dan pertukaran rejim. Umat Islam di mana-mana ditindas, diusir dari negara mereka dan dinafikan hak suaka," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam pernyataan semasa Perbahasan Umum pada Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat.

Beliau berkata, sesiapa tidak boleh menafikan bahawa pada masa lalu tiada migrasi berskala besar tetapi kini peperangan dan ketidakstabilan akibat perubahan rejim telah memaksa mereka melarikan diri dari negara asal mereka.

Dr Mahathir menegaskan bahawa peralihan semalaman kepada demokrasi menyebabkan ketidakstabilan dan perang saudara, sehingga beberapa negara kehilangan kuasa kerajaan, sementara yang lain kembali kepada rejim autoritarian yang lebih buruk daripada yang digantikan.

Oleh kerana menderita akibat peperangan dan keganasan, rakyat negara itu berpindah ke negara lain, kata beliau.

Artikel Berkaitan:

"Negara yang kononnya memperjuangkan prinsip demokrat membicarakan tentang kedaulatan undang-undang tetapi mereka bersikap pilih kasih. Rakan boleh melanggar mana-mana undang-undang dan terlepas begitu sahaja daripada hukuman.

"Justeru, Israel boleh mencabuli semua undang-undang dan norma antarabangsa di dunia dan ia akan terus disokong dan dipertahankan. Negara-negara tidak mesra tidak boleh melakukan sesuatu yang tidak betul. Tidak ada keadilan di dunia," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata perbuatan Israel merampas tanah Palestin dan mengusir 90 peratus penduduk Arab telah mencetuskan peperangan di banyak negara, kebanyakannya berkaitan dengan pembentukan negara Israel.

"Dan kini kita menghadapi ancaman keganasan sedangkan tidak sebelum ini atau sekurang-kurangnya tidak ada pada skala sekarang. Tindakan ketenteraan terhadap keganasan tidak akan berjaya. Kita perlu mengenal pasti puncanya dan mengatasinya.

"Tetapi kuasa-kuasa besar enggan menangani puncanya. Mereka lebih cenderung kepada tindakan ketenteraan dan sekatan, dan mereka akan terus gagal mengekang keganasan," kata Dr Mahathir.

Sambil menyoroti nasib masyarakat Rohingya di Myanmar, Perdana Menteri berkata bahawa ketidakupayaan dunia dalam menghentikan kekejaman terhadap masyarakat etnik

menyebabkan resolusi PBB kurang berkesan.

Akibatnya, mereka dipaksa berhijrah dan kini tidak berani kembali ke Myanmar walaupun diberi tawaran kerana mereka tidak dapat mempercayai tentera Myanmar melainkan ada beberapa bentuk perlindungan pihak ketiga.

Beralih perhatian kepada isu Jammu dan Kashmir, Perdana Menteri berkata walaupun ada resolusi PBB, wilayah itu telah ditawan dan diduduki.

"Mungkin ada sebab untuk tindakan ini tetapi ia tetap salah," katanya sambil menegaskan bahawa masalah itu harus diselesaikan secara aman.

Sehubungan itu, beliau menyeru India untuk bekerjasama dengan Pakistan bagi menyelesaikan isu tersebut, dengan memberi peringatan bahawa ketidakpatuhan resolusi PBB akan menyebabkan pengabaian bentuk lain kepada badan dunia itu. - Bernama