Bukti mahkamah bebas buat keputusan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan prosiding inkues semalam berhubung punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim menunjukkan mahkamah bebas dalam membuat keputusan.

Profesor Dr Khairil Azmin Mokhtar dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, mahkamah telah membuat keputusan berdasarkan kepada fakta bahawa memang wujud elemen jenayah dalam kematian Muhammad Adib.

Bagaimanapun menurutnya, keputusan inkues itu hanyalah bagi mengetahui sebab-sebab kematian dan masih belum boleh sabitkan kesalahan kepada mana-mana pihak.

“Keputusan itu menunjukkan mahkamah bebas membuat keputusan namun siapakah penjenayah terbabit masih belum diputuskan.

"Dalam undang-undang ia masih open verdict (terbuka) dan selepas ini akan ada lagi perbicaraan dan pihak pendakwaan akan mengambil tindakan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, keputusan inkues itu akan disusuli dengan tindakan untuk mencari siapa yang boleh dibawa ke mahkamah untuk tuduhan menyebabkan kematian Muhammad Adib.

Malah katanya, jika polis memiliki bukti, ia perlu diserahkan kepada pejabat peguam negara.

“Polis akan menyiasat dan akan kumpul maklumat serta keterangan. Kalau keterangan itu cukup untuk bawa seseorang ke mahkamah maka pihak pendakwaraya akan berbuat demikian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Koroner semalam membuat dapatan bahawa Muhammad Adib dipukul oleh sekumpulan individu berketurunan India yang tidak dikenali ketika berada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Allahyarham ketika itu bertugas untuk memadamkan kebakaran dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ, November tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah putuskan Adib dipukul sekumpulan lelaki

Inkues Adib: Kerajaan serah pada PDRM