LPP bantu projek ternakan kerapu hibrid, udang kara

Azzam (dua, kiri) melihat ternakan Udang Kera ketika melakukan lawatan ternakan Kerapu Hibrid dan Udang Kera di Bakut View Putatan semalam. -Foto Bernama
Azzam (dua, kiri) melihat ternakan Udang Kera ketika melakukan lawatan ternakan Kerapu Hibrid dan Udang Kera di Bakut View Putatan semalam. -Foto Bernama
A
A
A

PUTATAN - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan memberi bantuan yang sesuai bagi Projek Ternakan Ikan Kerapu Hibrid dan Udang Kara yang diusahakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan di Bakut View dekat sini.

Ahli Lembaga Pengarah LPP, Armizam Zaman Huri berkata, projek itu yang menggunakan teknologi baru harus diberi sokongan yang memberi impak positif kepada pengeluaran hasil perikanan di negeri ini.

"LPP akan berbincang bagi mengenal pasti bantuan sesuai diberikan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat projek ternakan itu semalam.

Menurutnya menerusi taklimat yang diberikan oleh Pengerusi PPK Putatan Datuk Arsit Sedi, projek itu menyasarkan pengeluaran ikan kerapu hibrid untuk pasaran di negara China.

Projek itu menggunakan Sistem Perladangan Akuakultur Pintar (SAS) satu kaedah baharu penternakan ikan mesra alam tanpa penggunaan bahan kimia tidak menyebabkan pencemaran dan menjimatkan kos serta masa.

Kaedah akuakultur moden berasaskan teknologi nano itu menggunakan tangki bersaiz besar di bawah bumbung dan ia adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dibangunkan PCB Biotech Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Permodalan Capital Berhad (PCB) berpusat di daerah ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: