X

Kindly register in order to view this article
!

'Siasat semula kematian Adib'

Mahkamah Koroner hari ini mendapati kematian Allahyarham berpunca daripada perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali.
A
A

KUALA LUMPUR - 'Semak semula siasatan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim dibantu dapatan Mahkamah Koroner', demikian kata Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan mengulas keputusan Mahkamah Koroner mengenai siasatan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau berkata, Mahkamah Koroner hari ini mendapati kematian Allahyarham berpunca daripada perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali.

"Menurut Koroner Rofiah Mohamad dapatan dibuat selepas meneliti keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan ke mahkamah semasa prosiding inkues yang telah berlangsung.

"Prosiding inkues kematian Muhammad Adib bermula pada 11 Februari lalu dan telah berjalan selama 41 hari.

"Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 ekshibit dikemukakan. Melalui inkues itu segala teori dan kebarangkalian tentang punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim telah dibentangkan dan dipertimbangkan," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum keputusan itu katanya ada pihak-pihak yang mempersoalkan penubuhan inkues tersebut, contohnya: Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan pada bulan Mei tahun ini dilaporkan telah melontar persoalan sama ada Peguam Negara tidak percaya pada hasil siasatan polis kerana telah memohon inkues tersebut.

"Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pada bulan Mei tahun ini dilaporkan telah menggesa supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menggantikan inkues yang masih berlangsung pada ketika itu," katanya.

Katanya, jelas bahawa dakwaan-dakwaan yang dibuat untuk mewujudkan persepsi negatif prosiding inkues itu adalah meleset sekali dengan keputusan Mahkamah Koroner hari ini.

"Ia menunjukkan bahawa langkah untuk mengadakan inkues adalah keputusan yang tepat dan membolehkan suatu dapatan dibuat melalui tribunal kehakiman yang bebas dan prosiding yang terbuka.

"Tidak ada perkara yang boleh disembunyikan atau dipendam dalam inkues yang transparen. Ia juga membuktikan bahawa sekiranya sistem kehakiman negara adalah bebas dan diyakini umum tidak ada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja," katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak polis untuk menyemak semula siasatan dengan menyeluruh mengenai kematian Allahyarham dengan keterangan, bukti dan dapatan Mahkamah Koroner dalam prosiding inkues.

"Muhammad Adib gugur sebagai seorang wira semasa melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya sebagai anggota bomba. Saya percaya semua pihak mahu melihat pelaku-pelaku yang menyebabkan kematiannya di bawa ke muda pengadilan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!