Gabung universiti: UMT, UniSZA sebagai perintis?

Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (kanan) berbual sesuatu bersama Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (kiri) berbincang sesuatu ketika hadir pada Majlis Penutup 'Higher Education English Language Carnival 2019 (HE ELCA 2019)' di Universiti Malaysia Terengganu semalam. -Foto Bernama
Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (kanan) berbual sesuatu bersama Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (kiri) berbincang sesuatu ketika hadir pada Majlis Penutup 'Higher Education English Language Carnival 2019 (HE ELCA 2019)' di Universiti Malaysia Terengganu semalam. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Penggabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mungkin menjadi perintis kepada lebih banyak penggabungan universiti lain sekiranya ia berjaya direalisasikan.

Naib Canselor UniSZA, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata ​​​​​, cadangan yang diyakini mampu memberi manfaat kepada kedua-dua universiti itu bakal mencetus era baharu yang mengubah landskap sektor pendidikan tinggi di negara ini.

"Sekiranya penggabungan UniSZA dan UMT berjaya, tidak mustahil universiti lain akan terlibat sama pada masa depan.

“Kita tidak tahu pada masa depan kalau penggabungan UMT dan UniSZA akan lonjakan universiti. Penggabungan kadangkala akan menjadikan sesebuah universiti lengkap," katanya kepada Bernama.

Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 4 September lalu bersetuju secara prinsip dengan penggabungan UMT dan UniSZA sebagai satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi.

Dalam temu bual eksklusif baru-baru ini, Hassan Basri berkata, proses penggabungan universiti bukanlah suatu perkara baharu kerana ia turut berlaku di universiti-universiti terkemuka dunia termasuk Paris-Sorbonne University dan Pierre Marie Curie University (UPMC) di Perancis yang mempunyai pengkhususan dalam bidang berlainan iaitu sains sosial dan perubatan.

"Dua universiti ini adalah universiti tersohor di dunia dan telah melahirkan ramai pemikir hebat serta pakar dalam bidang masing-masing," ​​​​katanya yang turut menyatakan melalui inisiatif penggabungan, kedua-dua universiti di Perancis itu mampu bergerak dengan lebih baik dan mempunyai dana mencukupi.

Beliau yang mengambil alih kepimpinan UniSZA pada Februari lalu berkata, dalam merealisasikan cadangan penggabungan itu, semua pihak perlu mengetepikan ego, berpandangan jauh dan melaksanakan apa yang dihasratkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Pada saya isunya ialah bagaimana nak laksanakan...perbezaan pendapat yang harus dilumatkan. Kita baru bermula...ada lima bulan lagi. Kita dah duduk berbincang dengan UMT. Kita kena sentiasa positif walaupun di hadapan tu ada pahit manis," katanya.

Mengulas lanjut, Hassan Basri menegaskan, cadangan penggabungan itu akan memberi manfaat lebih besar kepada komuniti setempat dan menolak pandangan ia akan mengecilkan jumlah kakitangan universiti.

Dalam pada itu, beliau berkata, UniSZA juga sedang merangka beberapa strategi ke arah penjanaan pendapatan sendiri bagi menyahut seruan kerajaan yang mahu setiap universiti memiliki sumber pendapatan dalam merancakkan lagi pembangunan universiti.

Selain beberapa cabang perniagaan di bawah UniSZA Holding, pihaknya akan memanfaatkan pembinaan hospital pengajar UniSZA sebagai antara sumber pendapatan apabila ia dijangka siap pada Jun tahun hadapan.

"Sebagai sebuah hospital awam yang didirikan dengan wang kerajaan...maka menjadi tanggungjawab sosial UniSZA untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam.

"Bagaimanapun pada masa sama kita perlu fikir dan cari jalan bagaimana hospital ini boleh memberi pendapatan kepada universiti tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial yang telah diamanahkan oleh kerajaan," katanya.

Katanya, penggabungan itu diharap mampu melonjakkan bidang tujahan utama UMT seperti marin, maritim dan oseanografi manakala UniSZA dengan pengajian Islam dan perubatan. - Bernama