Doktor gigi cedera disamun 'pesakit'

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
A
A
A

PETALING JAYA – Seorang doktor gigi cedera di leher selepas disamun oleh seorang penjenayah yang dipercayai menyamar sebagai pesakit ketika menerima rawatan di sebuah klinik gigi di Seksyen 14, Sea Park di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, jururawat menyatakan bahawa suspek telah datang untuk membuat rawatan akar gigi pada jam 9.30 pagi dan rawatan selesai kira-kira jam 11 pagi.

“Selepas selesai rawatan suspek datang dari arah belakang mangsa yang berusia 57 tahun itu dan mencederakannya dengan senjata tajam.

"Mangsa yang mengalami kecederaan kini sedang dirawat di sebuah hospital akibat kecederaan luka di leher serta ditempatkan di wad.

“Tahap kecederaan mangsa adalah luka melintang di bahagian leher kiri, keadaan mangsa stabil dan boleh bercakap,” katanya.

Mohd Zani berkata, suspek telah mendaftarkan namanya sebagai Murali dan menggunakan alamat di Kampung Medan di sini.

“Hasil semakan gambar penama Murali dari rekod Jabatan Pendaftaran Negara yang ditunjukkan kepada mangsa, disahkan oleh mangsa bukan suspek sebenar. Kita percaya suspek menggunakan kad pengenalan milik orang lain,” katanya.

Beliau berkata, siasatan pasukan forensik di klinik yang berada di tingkat satu lot kedai telah menemui sebilah pisau lipat yang digunakan untuk mencederakan mangsa.

Artikel Berkaitan:

“Rakaman kamera litar tertutup di premis lain menunjukkan suspek berbadan kurus memakai baju dan seluar warna hitam berlari membawa beg bimbit milik mangsa. Mangsa mengalami kerugian wang tunai anggaran kurang daripada RM2000 dan dokumen penting,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.