Jerebu: Udara bertambah baik hari ini

Rakaman gambar burung Bangau Putih yang sedang terbang berlatar belakangkan pemandangan langit cerah tanpa jerebu ketika tinjauan foto Bernama hari ini.
Rakaman gambar burung Bangau Putih yang sedang terbang berlatar belakangkan pemandangan langit cerah tanpa jerebu ketika tinjauan foto Bernama hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hujan di beberapa buah negeri hari ini menyumbang kepada kualiti udara yang semakin baik di seluruh negara baik petang tadi dengan keseluruhan kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bawah 100 iaitu paras sederhana.

Berdasarkan bacaan IPU terkini di portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 5 petang tadi, bilangan kawasan yang mencatatkan kualiti udara baik juga meningkat daripada hanya dua kawasan tengah hari tadi kepada enam tempat.

Enam lokasi berkenaan ialah Jerantut dan Indera Mahkota, Pahang; Paka dan Besut, Terengganu; Keningau, Sabah dan Tanjung Malim, Perak yang mencatatkan bacaan paling rendah iaitu 33.

Bacaan IPU yang paling tinggi direkodkan setakat ini adalah di Johan Setia Klang, Selangor iaitu 84, yang masih di paras sederhana.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini, meramalkan keadaan jerebu yang melanda negara sejak dua minggu lepas akan beransur pulih susulan fasa peralihan monsun yang bermula pada 24 September lalu.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com. - Bernama

Artikel Berkaitan: