Polis buru geng samun bertopeng, parang

Shamsul Amar Ramli
Shamsul Amar Ramli
A
A
A

KLANG - Polis giat memburu satu kumpulan penjenayah tegar yang dipercayai terlibat dalam tiga kejadian samun rumah di sekitar daerah ini dalam tempoh kurang lima jam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian pertama kira-kira jam 11 malam semalam, mangsa berusia 50 tahun yang berada di rumahnya di Taman Pendamar Indah 2 telah didatangi empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

Menurutnya, suspek telah melarikan seutas rantai leher, cincin (3), subang emas (1), telefon bimbit (3), kunci kereta (2) dan wang tunai sebanyak RM130.

"Kes kedua pula dilaporkan berlaku kira-kira jam 3 pagi tadi di Taman Sentosa Jaya ketika mangsa berusia 28 tahun didatangi lima lelaki.

"Kumpulan suspek yang bertopeng muka dan bersenjatakan parang panjang kemudian mengambil rantai emas (1), cincin emas (2), gelang emas (1) dan sebuah telefon bimbit yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM8,000 sebelum melarikan diri menaiki Honda CRV warna gelap," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Shamsul Amar berkata, bagi kes ketiga kira-kira jam 3 pagi tadi, mangsa berumur 59 tahun yang berada di rumahnya di Taman Klang Jaya dikejutkan dengan cubaan tiga lelaki bertopeng dan bersarung tangan sedang memanjat pagar rumahnya.

Katanya, ketika mangsa hendak membuka pintu dan lampu rumah dinyalakan, suspek terus melarikan diri menaiki sebuah kenderaan jenis Honda CRV warna gelap.

"Tiada kecederaan dilaporkan bagi ketiga-tiga kes ini. Siasatan sedang dijalankan dan kita syaki kejadian membabitkan kumpulan yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Usaha memburu kumpulan terbabit masih dijalankan. Orang ramai yang ada sebarang maklumat boleh berhubung ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan atau mana-mana balai berhampiran," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan.