Mayat reput, berulat ditemui dalam rumah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Mayat seorang lelaki warga emas ditemui dalam keadaan reput dan berulat dalam sebuah rumah di Kampung Bukit Marak di sini malam tadi.

Mangsa yang berusia 60-an itu ditemui oleh seorang penduduk yang juga kenalan mangsa pada jam 8.30 malam.

Lelaki berkenaan, Ahmad Shukri Shafie, 25, berkata, berikutan mangsa tinggal bersendirian di rumah itu, dia selalu menjenguk warga emas terbabit.

Katanya, sebaik tiba dia terhidu bau busuk dan bertindak membuka pintu sebelum melihat mayat warga emas itu dalam keadaan terlentang dan berulat.

“Saya pergi ke rumah mangsa untuk berjumpa dengannya namun terhidu bau busuk sebaik sampai di rumah itu.

“Sebaik buka pintu saya nampak mayat sudah berwarna biru dan berulat,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, dia kemudian segera memberitahu penduduk kampung dan menghubungi pihak polis bagi memaklumkan penemuan berkenaan.

“Mangsa ini ada memberitahu dia menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis. Kali terakhir kami bertemu pada dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

“Kami berbual seperti biasa dan ketika itu dia sihat serta tidak menunjukkan apa-apa yang pelik,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.