Pecah kereta guna palam pencucuh

Palam pencucuh yang telah diubah suai digunakan suspek untuk kegiatan jenayah pecah kereta.
Palam pencucuh yang telah diubah suai digunakan suspek untuk kegiatan jenayah pecah kereta.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tindakan licik dua lelaki yang aktif melakukan jenayah pecah kereta dengan menggunakan palam pencucuh berjaya ditumpaskan selepas mereka diberkas polis di Taman Impian Indah, Alma di sini pagi semalam.

Kedua-dua suspek berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan jam 11.30 pagi selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian pecah dan curi barang dalam sebuah kereta di Bukit Tengah, empat jam sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek telah memecah cermin dan mencuri barang berharga dalam kereta milik seorang lelaki pada jam 7.15 pagi.

"Mangsa membuat laporan berhubung kejadian terbabit pada jam 9.30 pagi.

"Akibat kejadian itu mangsa mengalami kerugian RM350 selepas kehilangan beberapa dokumen peribadi, telefon bimbit dan wang tunai," katanya.

Menurutnya, susulan laporan dibuat mangsa pihaknya berjaya menahan suspek selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Polis turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama dan dokumen peribadi milik mangsa yang dicuri suspek dalam beberapa kes jenayah yang dilakukan mereka," katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, kedua-dua suspek mengaku melakukan lebih tiga kes pecah dan curi dalam kenderaan menggunakan palam pencucuh.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka menggunakan wang hasil kegiatan curi dan pecah kenderaan itu untuk membeli bekalan dadah.

"Semakan mendapati dua suspek berkenaan yang tidak bekerja masing-masing mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

"Kedua-dua mereka kini direman dan akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.