Wau bulan terbang ke Busan

A
A

KOTA BHARU - Seorang pembuat wau tradisional mencipta sejarah tersendiri apabila terpilih untuk menerbangkan wau bulan ciptaannya ke Busan, Korea.

Wan Anuar Sapie, 41, yang berasal dari Kampung Pauh Badang berkata, wau tersebut dibawa menaiki kapal terbang ke negara itu sempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menurutnya, beliau satu-satunya wakil dari negeri ini yang terpilih untuk membawa seni kebudayaan Kelantan ke Korea.

“Saya sangat teruja untuk ke Korea memandangkan ini kali pertama menjejakkan kaki ke negara itu, bertujuan memperkenalkan budaya Kelantan di sana. Gambar saya bersama wau juga tercalon dalam satu pertandingan fotografi di sana nanti.

“Saya akan berada di Korea selama seminggu dan amat berterima kasih kepada kerajaan negeri termasuk Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di atas jemputan dan pemilihan saya dan wau-wau ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di galeri waunya di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini semalam.

Wan Anuar menunjukkan wau yang ada galerinya yang terletak di Jalan PCB di sini.
Wan Anuar menunjukkan wau yang ada galerinya yang terletak di Jalan PCB di sini.

Katanya, dia berlepas melalui penerbangan ke Korea di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini dengan membawa lima wau bulan berukuran kira-kira 1 meter untuk dipromosikan sepanjang lawatannya itu.

“Wau bulan dipilih kerana paling popular di Malaysia yang simbolik kepada negara ini, malah turut mendapat permintaan pelanggan dari Eropah dan Itali untuk dijadikan sebagai perhiasan.

“Bentuk wau ini menyerupai bulan sabit pada bahagian hadapan dan separa bulatan pada ekornya yang seakan menggambarkan peredaran bulan di langit,” katanya.

Bapa empat anak itu berkata, satu daripada lima wau hasil kreativiti dan seni tangannya itu ini akan dihadiahkan kepada Datuk Bandar Busan.

Seni tangan halus Wan Anuar mendapat tempat dan terpilih untuk dibawa ke Korea.
Seni tangan halus Wan Anuar mendapat tempat dan terpilih untuk dibawa ke Korea.
Menurutnya, seni pembuatan wau diwarisi daripada arwah bapanya, Shafie Jusoh, 70, sejak 21 tahun lalu dan dia mula serius melibatkan diri dalam bidang berkenaan sejak 2017.

“Saya mula serius melibatkan diri dalam bidang ini sejak 2017 bagi menyambung legasi yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada tahun lepas.

“Kepandaian saya diperoleh daripada pemerhatian melihat cara pembuatannya daripada arwah bapa yang juga sudah diiktiraf sebagai pakar dalam dunia seni kraf pembuatan wau.

“Sejak kecil sudah terbiasa melihat bapa menghasilkan wau sehingga saya sendiri mahir melakukan kesemua 16 jenis wau tradisional yang di negara ini,” katanya.

Seni tangan halus Wan Anuar mendapat tempat dan terpilih untuk dibawa ke Korea.
Seni tangan halus Wan Anuar mendapat tempat dan terpilih untuk dibawa ke Korea.

Wan Anuar berkata, tempoh menghasilkan sebuah wau mengambil masa antara tiga hari hingga sebulan setengah untuk disiapkan bergantung kepada kerumitan corak pada wau dan saiz.

Antara jenis wau yang terdapat di negara ini ialah wau bulan, kucing, cenderawasih, udang, barat, kenyalang, kangkan, helang dan puyuh.

“Paling rumit adalah menghasilkan corak pada wau kerana memerlukan kreativiti yang tinggi dan lazimnya ramai pembuat wau berputus asa pada proses ini.

“Harga juga bergantung pada corak dan saiz wau bermula serendah RM150 dan boleh mencecah sehingga ribuan ringgit. Paling mahal yang pernah saya jual setakat ini berharga RM5,000,” katanya.