Wau bulan gergasi hangatkan PRN Terengganu

Ghani (kiri) dan Alias (dua dari kanan) bersama penduduk lain di hadapan wau gergasi di di Pasar Kedai Buluh, dekat sini. (Gambar kecil: Mohd Nor)
Ghani (kiri) dan Alias (dua dari kanan) bersama penduduk lain di hadapan wau gergasi di di Pasar Kedai Buluh, dekat sini. (Gambar kecil: Mohd Nor)
A
A
A

MARANG - Suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) menjadi 'hangat' apabila binaan replika wau bulan Pas gergasi mencuri tumpuan orang ramai di Pasar Kedai Buluh, dekat sini.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, pembinaan replika wau bulan itu mengambil masa dua minggu dan siap sepenuhnya pada Khamis lalu.

Ujarnya, pembinaan replika tersebut merupakan inisiatif anak-anak muda bersama ahli cawangan Pas bagi menyambut perantau yang akan pulang mengundi sekali gus dapat mengabadikan gambar kenangan semasa PRN nanti.

"Selain wau bulan, kita juga bina replika kereta kebal dan nyalakan lampu kelip-kelip di sekeliling wau itu bagi menjadikan ia nampak cantik ketika waktu malam.

"Kita mahu membangkitkan semangat 'raya' yang hanya berlangsung lima tahun sekali dalam kalangan pengundi terutama perantau sempena PRN diadakan tidak lama lagi," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, replika wau bulan gergasi berukuran 21 meter lebar dan 24 meter tinggi itu yang terbesar pernah dihasilkan pihaknya di Terengganu setakat ini.

"Kita membina replika itu menggunakan buluh, kayu, kain bendera serta getah untuk mengikat wau menjadi lebih kukuh.

"Dengan adanya replika wau gergasi, tempat ini akan menjadi tumpuan orang ramai yang berkunjung ke sini untuk berfoto sepanjang PRN ini," ulasnya.

Sementara itu, penduduk Kampung Kedai Buluh, Ghani Jusoh, 55, berkata, pembinaan replika tersebut sedikit mencabar kerana perlu memanjat ke tempat lebih tinggi untuk memasang wau selain menghiaskannya dengan lampu kelip-kelip.

"Seramai 20 penduduk kampung terlibat siapkan replika dan malam tadi (Khamis) sudah siap pasang pada jam 1 pagi.

"Sudah 90 peratus siap dan bakinya lagi akan disiapkan dalam masa terdekat ini," ujarnya.

Bagi Alias Abdullah, 55, pula pembinaan replika itu sudah menjadi tradisi bagi penduduk tempatan setiap kali pilihan raya diadakan.

"Memang kawasan di sini meriah dengan wau gergasi, replika kereta kebal dan bendera parti untuk memeriahkan suasana dan mengembalikan mood untuk hadapi pilihan raya.

"Ia juga boleh dijadikan tempat tarikan kepada pengunjung yang datang untuk bergambar. Pemandangan di sini juga sangat cantik pada waktu malam kerana dihiasi dengan lampu-lampu kelip," jelasnya.