X

Kindly register in order to view this article
!

Kontrak pemain: PAFA tunggu perlawanan selesai

Tajul Hasnan bercakap kepada pemberita hari ini.
A
A

PENILAIAN kontrak pemain bola sepak Perak yang berakhir pada Disember ini hanya akan dilakukan selepas tamat musim Piala Malaysia.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar berkata, tiada sebarang ketetapan dibuat setakat ini memandangkan pasukan itu perlu fokus pada baki perlawanan yang tinggal.

"Jika Ahad ini kita menang ke atas Selangor, maka Perak layak ke separuh akhir dan jika menang lagi akan ke final, bermakna kita ada sekurang-kurangnya empat perlawanan lagi.

"Itu belum dikira Piala Presiden dan seterusnya Piala Belia pula menyusul, jadi elok kita buat satu-satu, dah selesai baharu kita bincang dan buat keputusan," katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan beberapa pemain skuad The Bos Gaurus itu diintai pasukan lain berikutan prestasi cemerlang dipamerkan sepanjang musim ini.

Selaku juara bertahan Piala Malaysia, Perak menewaskan Selangor 1-0 pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, 22 September lepas.

Kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi pada aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam pada 29 September ini.

Mengulas lanjut, Tajul Hasnan berkata, pemindahan pemain merupakan perkara biasa terutama bagi pemain-pemain yang meningkat naik.

Bagaimanapun pihaknya mengharapkan semua barisan pemain sedia ada dikekalkan atas rekod cemerlang dan disiplin tinggi ditunjukkan.

"Kita tidak punya kuasa nak tentukan siapa terus jadi pemain atau tidak, itu terpulang kepada pengurusan dan presiden sendiri, di pihak PAFA, kita akan akur, tetapi harap-harap semua kekallah sebab mereka pemain yang bagus.

"Bagi pemain yang akan tamat kontrak, tawaran dan perbincangan sudah tentu dibuat, tetapi itu juga terpulang kepada pemain sendiri, kita tak boleh paksa jika mereka sendiri nak pergi," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, mengikut penilaian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), PAFA antara persatuan terbaik dalam mengurus pembayaran gaji pemain.

Katanya, sepanjang tempoh ini juga, tiada sebarang aduan atau rungutan diterima berkaitan masalah gaji termasuklah kes tertunggak.

"Cepat dengan lambat itu biasalah, kadang-kadang terlewat sikit, ada ketika awal pula, tetapi setakat ini kita belum ada masalah bayaran gaji dengan mana-mana pemain atau pasukan.

"Kita ada empat ke lima pasukan dan belum pernah berlaku tunggakan gaji, saya beri jaminan perkara itu tidak berlaku dalam pasukan Perak kerana kita akui, isu sebegini sedikit sebanyak mengganggu tumpuan pemain," katanya.

Terdahulu, Tajul Hasnan mengetuai kunjungan PAFA ke rumah keluarga seorang daripada penyokong setia pasukan Perak, Muhammad Amirul Hakimi Abdul Latif, 21, yang meninggal dunia akibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas menyaksikan perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Perak dan Selangor di Stadium Perak, Ahad lalu.

Lawatan itu turut disertai Ketua Jurulatih, Mehmet Durakovic dan tiga pemain, Brendan Gan, Ronaldo Henrique Silva dan Hussein Eldor.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus