X

Kindly register in order to view this article
!

Pengurusan kes Musa Aman ditetapkan 18 Oktober

Tan Sri Musa Aman
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 18 Oktober depan untuk pengurusan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datin Nurshuhaida Zainal Azahar kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas.

“Pengurusan kes selanjutnya itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah,” katanya.

Musa,68, diwakili peguam Joshua Tay hadir ke mahkamah hari ini.

Musa berdepan 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah membabitkan wang berjumlah AS$63.3 juta dan 16 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih AS$37.8 juta dan S$2.5 juta.

Mengikut 35 pertuduhan rasuah, Musa sebagai seorang ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak yang berjumlah AS$63.3 juta.

Wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat dan perbuatan itu didakwa dilakukan di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Semua pertuduhan terhadap Musa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Dia juga menghadapi 16 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih AS$37.8 juta dan S$2.5 juta.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.

Tertuduh juga berdepan tuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan hasil aktiviti haram berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan dan 11 hingga 15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima AS$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes yang jumlah itu adalah daripada hasil aktiviti haram tertuduh.

Bagi pertuduhan ke-10 pula, beliau didakwa menerima S$2.5 juta atas sebab sama dan mengikut pertuduhan terakhir iaitu pertuduhan ke-16, Musa didakwa cuba untuk melibatkan diri dalam pengubahan wang haram. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus