Caj baharu bank di Malaysia

Kebanyakan bank menggalakkan pelanggan menggunakan perkhidmatan pada mesin ATM dan CDM dengan mengurangkan jumlah kaunter di bank peringkat cawangan.
Kebanyakan bank menggalakkan pelanggan menggunakan perkhidmatan pada mesin ATM dan CDM dengan mengurangkan jumlah kaunter di bank peringkat cawangan.
A
A
A

BANK dan pelanggan saling memerlukan antara satu sama lain. Tanpa perkhidmatan bank, pelanggan akan menghadapi banyak masalah sama ada dalam urusan penerimaan gaji, menyimpan wang malah banyak lagi perkhidmatan kewangan lain.

Umum mengetahui perkhidmatan bank banyak memudahkan urusan kita terutama melibatkan perbankan internet.

Semalam, dilaporkan beberapa buah bank di negara ini mengenakan caj transaksi bagi perkhidmatan di kaunter dan mesin deposit tunai (CDM).

Malayan Banking Bhd (Maybank), misalnya, mengeluarkan notis pada 25 Mac lalu bahawa caj berkenaan akan dikuatkuasakan pada 1 Oktober ini. Maybank berkata, caj transaksi bagi pembayaran kad kredit dan pembiayaan pinjaman di kaunter bank berkenaan akan dikenakan bayaran sebanyak RM2 bermula 1 Oktober 2019.

Maybank turut mengenakan bayaran sebanyak 50 sen bagi pembayaran kad kredit dan pembiayaan pinjaman melalui mesin smart recycle (SRM) atau CDM pada tarikh yang sama.

Sebelum itu, Public Bank juga telah memulakan langkah itu lebih awal dengan mengenakan bayaran ke atas pembayaran balik pinjaman dan kad kredit menggunakan wang tunai dan cek mulai April lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua bank terbabit masih lagi menawarkan servis percuma untuk pemindahan dana elektronik sedia ada bagi tujuan pembayaran melalui internet atau perbankan mudah alih.

Maybank dan Public Bank mengetepikan bayaran untuk warga tua, orang kurang upaya (OKU) dan pelanggan yang tidak mempunyai akses kepada akaun semasa atau simpanan dengan bank.

Artikel Berkaitan:

Tindakan bank mengenakan caj tersebut tidak dipersetujui oleh Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Rais berkata, caj berkenaan keterlaluan, membebankan pengguna dan wajar dibantah. Sebagai pengguna adakah anda setuju dengan caj baharu itu?

Jika dilihat kepada nilai aset dan keuntungan bank yang mencecah nilai bilion ringgit, nyata kedudukan kewangan bank tempatan cukup baik dan mereka sebenarnya tidak perlu mengenakan caj terbabit. Namun sekiranya caj berkenaan untuk meningkatkan lagi perkhidmatan bank, maka caj RM2 itu perlu diterima dengan hati terbuka oleh pelanggan.