Terengganu perintis latihan kemahiran di sekolah pondok

Ahmad Samsuri (berdiri; empat dari kanan) bersama wakil sekolah pondok.
A
A

HULU TERENGGANU - Terengganu menjadi negeri pertama memulakan program latihan kemahiran di sekolah pondok, dalam usaha memperkasakan pelajar di institusi itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program itu dilaksanakan dengan pembiayaan kerajaan negeri melalui kerjasama Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC). Menurutnya, untuk peringkat permulaan, seramai 30 pelajar dari Pondok Ibtida’i Ajil, Hulu Terengganu dipilih menyertai program berkenaan.

“Kita akan lihat keberkesanan program latihan kemahiran ini dahulu sebelum memperluaskannya di kesemua institusi pondok di seluruh negeri secara berperingkat.

“Program yang dilaksanakan ini bagi membolehkan setiap pelajar dilengkapi dengan latihan kemahiran sebelum mereka menamatkan pengajian sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pelajar yang terlibat dalam program itu begitu teruja dengan ilmu baharu yang dipelajari apabila mereka mampu membina wakaf dan membuat kerja-kerja pertukangan.

Ahmad Samsuri (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil sekolah agama rakyat di Hulu Terengganu semalam.
Ahmad Samsuri (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil sekolah agama rakyat di Hulu Terengganu semalam.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan memikirkan kaedah bersesuaian untuk institusi pondok di daerah lain sekiranya tiada mana-mana pusat latihan yang terletak berhampiran mereka.

Terdahulu pada majlis sama, beliau turut menyampaikan cek kepada wakil-wakil pondok tahfiz dan SAR di seluruh daerah dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.875 juta.

Sehingga kini, terdapat 140 institusi pondok di Terengganu dengan 103 daripadanya telah berdaftar dengan kerajaan negeri.

Manakala bakinya yang belum berdaftar dipercayai akan berbuat demikian tidak lama lagi bagi memudahkan proses pengurusan.