Jerebu: JAS nafi data IPU dipaparkan tidak tepat

-Foto Bernama
-Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) menafikan dakwaan sesetengah pihak berhubung data Indeks Pencemaran Udara (IPU) dikeluarkan pihaknya tidak tepat.

Menurut satu kenyataan hari ini, bacaan IPU dipaparkan adalah benar serta tiada penipuan memandangkan sistem pengawasan kualiti udara Malaysia adalah ditentusahkan dan berdasarkan standard protokol antarabangsa.

"IPU dikira berdasarkan purata kepekatan bahan pencemar udara mengikut standard ditetapkan. Setiap nilai parameter yang telah dipuratakan mengikut tempoh masa tertentu akan dikira menggunakan formula dan dihasilkan sebagai sub-indeks.

"Mana-mana sub-indeks yang tertinggi daripada 6 parameter yang diukur akan dipilih sebagai IPU. Dalam keadaan jerebu, habuk halus PM2.5 adalah sebagai pencemar udara yang dominan.

"Biasanya ia dipilih sebagai indeks utama kerana nilainya akan menjadi lebih tinggi berbanding nilai sub-indeks parameter pencemar yang lain.

"Kepekatan PM2.5 akan dipuratakan dalam tempoh 24 jam sebelumnya dengan ambil kira faktor pendedahan kepada kesihatan awam. Kaedah formula pengiraan digunakan berdasarkan standard United States Environmental Protection Agency (US EPA)," kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan terdapat orang awam merujuk sumber lain untuk bacaan IPU yang didapati mempamerkan kepekatan habuk PM2.5 dalam unit mikrogram per meter padu (μg/m3) sedangkan kepekatan habuk pada masa tertentu bukanlah IPU.

"Sumber-sumber ini juga dikhuatiri mengguna pakai alat dan kaedah yang tidak ditentusahkan oleh mana mana pihak bertauliah.

Artikel Berkaitan:

"Apa-apa rujukan mengenai bacaan IPU haruslah merujuk kepada Air Pollution Management System (APIMS) di laman web JAS atau di aplikasi MyIPU sekiranya melayari melalui telefon pintar atau peranti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu makin berkurangan hari ini