Muafakat Nasional tutup isu kafir: Subky

Subky (tengah) semasa menjawab soalan yang diajukan wartawan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Subky (tengah) semasa menjawab soalan yang diajukan wartawan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU – Pas melihat Muafakat Nasional yang terjalin dengan UMNO sebagai satu hikmah kerana berjaya menutup isu kafir-mengkafir antara kedua-dua parti itu sebelum ini.

Pengerusi Veteran Pas, Subky Latif berkata, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Pas pernah menafikan akan menyertai UMNO, namun tidak pernah menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan parti itu.

“Apa yang Pas nafi dulu ialah (dakwaan) kata Pas mahu masuk UMNO. Bukannya menafikan untuk muafakat. Sekarang ini, keadaan berbeza. Apa yang paling gembira ialah isu kafir-mengkafir ini sudah tamat.

“Sekarang ini kita bukan duduk ‘bersatu’ tapi kita duduk ‘berdua’. Duduk bersama. Dua-dua ada. Itulah yang kita katakan ta’awun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Hari Assabiqun Peringkat Kebangsaan selepas mengadakan perbincangan di Pejabat Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, di Kompleks Kota Darulnaim di sini.

Mengulas lanjut beliau berkata, Muafakat Nasional juga disokong sepenuhnya oleh veteran parti itu walaupun mengakui ada antara ahli lama yang bertanyakan mengenai untung ruginya kerjasama yang dilakukan itu.

“Saya jawab, kalau UMNO tidak mahu, kita mahu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas alukan semua pihak berdialog Piagam Muafakat Nasional

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya mengenai Hari Assabiqun, Subky berkata, ia akan diadakan pada 5 Oktober depan di Majlis Daerah Ketereh dan ia merupakan medium penting untuk mengumpulkan ahli dan pemimpin Pas yang banyak berjasa kepada parti itu.

“Jumlah kehadiran sebenar, saya masih belum dapat pastikan lagi. Apa yang pastinya, 'jasawan' Pas ini ramai. Ada antara mereka yang tidak lagi pegang sebarang jawatan.

“Perjumpaan ini juga untuk menghargai mereka supaya mereka rasa jasa mereka dikenang dan terus bersama Pas sehingga akhir hayat. Kita ambil kesempatan pelancaran di Kelantan dan selepas ini diadakan setiap negeri. Semua ahli dijemput hadir untuk meraikan orang lama ini,” katanya.

Subky memberitahu, selain itu, kenduri rakyat juga diadakan pada hari tersebut, selain sesi ceramah pada sebelah malam melibatkan pemimpin tertinggi Pas dan UMNO.