Pas alukan semua pihak berdialog Piagam Muafakat Nasional

438918
A
A

SHAH ALAM - Pas mengalukan pelbagai pihak termasuk parti politik, badan bukan kerajaan dan mana-mana organisasi berdialog bagi memastikan Piagam Muafakat Nasional sentiasa berada di landasan tepat untuk Malaysia yang lebih sejahtera.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, Pas juga memberi jaminan bahawa perpaduan nasional dalam masyarakat majmuk tetap menjadi keutamaan parti seperti termaktub dalam piagam.

"Himpunan Penyatuan Ummah baharu sahaja berlabuh yang menjadi tarikh penting terpahat dalam sejarah negara sehingga termeterai Piagam Muafakat Nasional antara dua parti terbesar Melayu iaitu Pas dan UMNO.

"Pelbagai reaksi diterima oleh rakyat Malaysia amnya. Di Malaysia, Pas telah membuktikan komitmen perpaduan nasional apabila mentadbir Kelantan dan Terengganu dengan menekankan keadilan sosial serta hak kepada semua kaum.

"Penganut agama dan kaum lain bebas mengamalkan amalan agama mereka selagi tidak melanggar undang-undang dan peraturan sedia ada," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, di peringkat Pas, masyarakat bukan Islam diberi peluang melalui Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) serta melantik mereka di posisi dalam kerajaan dan masyarakat seperti diamalkan di kedua-dua negeri ditadbir parti itu.

"Sebagai contoh, Pegawai Khas Menteri Besar mewakili bukan Islam dan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

"Ingin ditegaskan, Pas tidak akan sekali-kali berkompromi dan akan menghalang sebarang usaha pihak tidak bertanggungjawab sama ada organisasi atau individu yang ingin merosakkan keharmonian yang sedia terjalin.

"Atas semangat cintakan negara, Pas mengalukan semua pihak berdialog bagi memastikan Piagam Muafakat Nasional sentiasa berada di landasan yang tepat untuk lebih kesejahteraan Malaysia," katanya.