Aksi gajah berenang di Tasik Kenyir jadi perhatian

Aksi gajah berenang di Tasik Kenyir berjaya dirakam Mohd Suwardi Muhamad Azmi.
Aksi gajah berenang di Tasik Kenyir berjaya dirakam Mohd Suwardi Muhamad Azmi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mamalia terbesar di darat iaitu gajah juga mempunyai kebolehan untuk berenang jauh dalam air menggunakan belalainya untuk bernafas di permukaan, namun peluang untuk menyaksikan haiwan itu berenang adalah sesuatu yang jarang diperoleh.

Bagi Mohd Suwardi Muhamad Azmi, 37, pengalamannya terserempak dengan seekor gajah yang sedang berenang di Tasik Kenyir di Hulu Terengganu baru-baru ini sangat menggembirakan selain ia petunjuk bahawa Tasik Kenyir masih menjadi lokasi habitat semula jadi mamalia itu.

"Ini bukanlah kali pertama saya melihat sendiri gajah berenang. Sejak mula bergiat aktif dengan aktiviti memancing pada tahun 2004, ini adalah kali keempat saya melihat haiwan itu berada dalam air.

"Namun, tak sangka pula, video yang saya kongsikan di Facebook itu mendapat perhatian ramai. Mungkin kerana masih ramai tidak tahu bahawa gajah adalah mamalia yang boleh berenang, jadi aksi itu menjadi bualan di Facebook," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Video gajah sedang berenang berdurasi tiga minit 45 saat yang dimuat naik di Facebook Mohd Suwardi itu sehingga kini telah dikongsi oleh 355 pemilik akaun Facebook yang lain, menerima 374 tanda suka dan menerima 20,000 tontonan.

Mohd Suwardi yang kerap memancing di Tasik Kenyir berkata selain gajah, banyak lagi haiwan yang boleh berenang seperti harimau, babi, beruk, kera, kambing hutan, kancil, kijang dan rusa.

"Ini pemandangan 'biasa' bagi kaki pancing di Tasik Kenyir. Ramai pemancing yang pernah bertembung dengan haiwan ini ketika ia berenang, cuma tidak banyak yang merakam video atau gambar kerana ada kalanya cuaca tidak sesuai seperti hujan...kadang-kadang tergamam.

"Apa pun, yang penting kita jangan ganggu habitat haiwan ini. Jangan ganggu pergerakan mereka ketika berenang bimbang jika ia bertindak ganas pula. Biasanya, kami hanya lihat sahaja dan rakam video jika sempat sebagai kenang-kenangan," katanya yang bertugas sebagai Pembantu Pegawai Perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, gajah adalah antara haiwan liar yang masih terdapat di negeri ini.

"Perhilitan hanya akan menangkap gajah ini sekiranya mendapat maklumat daripada orang ramai haiwan ini mengancam keselamatan atau merosakkan harta benda seperti tanaman...sekiranya tiada biarlah ia hidup di habitat semula jadinya seperti biasa," katanya. - Bernama