Geng pecah rumah tumpas

Mohd Khaizam (tengah) menunjukkan pemotong besi yang dirampas daripada dua kumpulan yang aktif dalam kes pecah rumah dan kilang sekitar Sungai Siput hari ini.
Mohd Khaizam (tengah) menunjukkan pemotong besi yang dirampas daripada dua kumpulan yang aktif dalam kes pecah rumah dan kilang sekitar Sungai Siput hari ini.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes pecah rumah dan kilang melibatkan kerugian lebih RM100,000 apabila menahan dalang utama dua kumpulan yang aktif melakukan jenayah sekitar daerah itu sejak Januari lalu.

Ketua Polis Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kedua-dua suspek dari geng Athi dan Appu Boy ditahan bersama lima lelaki lain dalam beberapa lokasi termasuk Ipoh sejak Isnin minggu lalu.

Menurutnya, gerakan mengesan kedua-dua kumpulan itu dilakukan selepas menerima 21 laporan mengenai kes pecah rumah dan kilang sejak Januari lalu.

"Dua lelaki ditahan di Jalan Ipoh - Kuala Kangsar, Isnin minggu lepas dalam rondaan cegah jenayah kerana memiliki beberapa peralatan pecah rumah.

"Hasil soal siasat membawa penahan seterusnya dan menemui trak pikap dan barangan lain antaranya televisyen, set komputer, kamera litar tertutup (CCTV) dan Bat Ping Pong dipercayai hasil aktiviti itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini hari ini.

Mohd Khaizam berkata, dua kumpulan ini dipercayai telah aktif sejak setahun lalu dan mereka saling mengenali antara satu sama lain.

"Suspek juga menyembunyikan hasil curi berkenaan dengan menyewa bilik hotel bajet bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Ujian urin mendapati kesemua suspek yang ditahan didapati positif dadah selain mempunyai rekod kesalahan lampau dalam kegiatan jenayah dan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khaizam menunjukkan gambar seorang lelaki yang dipercayai geng Appu Boy yang yang terlibat dalam beberapa kes di Sungai Siput.
Mohd Khaizam menunjukkan gambar seorang lelaki yang dipercayai geng Appu Boy yang yang terlibat dalam beberapa kes di Sungai Siput.

Katanya, kesemua suspek masih dalam tahanan reman dan kertas siasatan sudah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Tiga suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Siput di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(1)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki barang curi.

"Seorang lelaki dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar manakala tiga yang lain direman sehingga Jumaat ini," katanya.

Jelasnya, pihaknya sedang menjejaki seorang lelaki dipercayai ahli Geng Appu Boy dikenali T Sivanesh,24, yang beralamat di Kampung Tersusun Kamuning di sini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat di talian 019-3424345," katanya.