Jerebu: Kes asma, konjuntivitis meningkat

455721
455721
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyakit asma dan konjuntivitis mencatatkan peningkatan kes di seluruh negara sepanjang tempoh 15 hingga 21 September berbanding minggu sebelumnya yang diakibatkan oleh jerebu, kata Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kes penyakit asma meningkat sebanyak 3.5 peratus daripada 1,222 kepada 1,265 kes manakala penyakit konjuntivitis meningkat kepada 403 kes atau 51.4 peratus daripada 266 kes pada tempoh berkenaan.

“Bagaimanapun penyakit jangkitan saluran pernafasan (URTI) menunjukkan penurunan sebanyak 9.6 peratus (8,258 kepada 7,465 kes), pada tempoh yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa memantau penyakit berkaitan jerebu di 33 Fasiliti Sentinel Jerebu dan menasihatkan orang ramai terutama golongan berisiko tinggi dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.

Orang ramai boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu dengan melayari laman sesawang kementerian http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

Selain itu, orang ramai juga disaran mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di lokaliti masing-masing dengan melayari portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di http://apims.doe.gov.my/ dan mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU.

Sehingga jam 8 pagi tadi hanya satu lokasi di negara ini mencatat bacaan kualiti udara sangat tidak sihat iaitu 213 di Johan Setia, Klang, Selangor.

Bagaimanapun di Sarawak kawasan Sri Aman yang sebelum ini terjejas teruk dengan jerebu terus menunjukkan penurunan kepada bacaan IPU sejak semalam dan kini merekodkan bacaan 134 (tidak sihat) berbanding 203 (sangat tidak sihat) semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan: