Jerebu: IPU Johan Setia kekal sangat tidak sihat, Sri Aman menurun

A
A

KUALA LUMPUR - Hanya satu lokasi di negara ini mencatat bacaan kualiti udara sangat tidak sihat setakat jam 8 pagi tadi iaitu Johan Setia di Klang Selangor.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu ialah 213 berbanding 197 (tidak sihat) pada petang semalam.

Bagaimanapun di Sarawak kawasan Sri Aman yang sebelum ini terjejas teruk dengan jerebu terus menunjukkan penurunan pada bacaan IPU sejak semalam dan kini mencatat 134 (tidak sihat) berbanding 203 (sangat tidak sihat) semalam.

Sebanyak 40 kawasan merekod bacaan IPU tidak sihat pada pagi ini berbanding 44 semalam iaitu Langkawi (106); Minden (110) dan Balik Pulau (141) di Pulau Pinang; Taiping (111), Tasek Ipoh (156), Pegoh Ipoh (133) dan Seri Manjung (173) di Perak; Batu Muda (140) dan Cheras (155) di ibu negara serta Putrajaya (175).

Turut mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Kuala Selangor (185), Petaling Jaya (165), Shah Alam (171) Klang (158), Banting (149) di Selangor; Seremban (159), Port Dickson (145) di Negeri Sembilan; Alor Gajah (134), Bukit Rambai (138) dan Bandaraya Melaka (133) di Melaka; Segamat (154), Batu Pahat (117), Kluang (111), Larkin (125), Pasir Gudang (114), Pengerang (105), Kota Tinggi (105) dan Tangkak (128) di Johor.

Di Pahang turut mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Temerloh (137), Jerantut (114), Indera Mahkota (159) dan Balok Baru (155); manakala di Terengganu ialah Kemaman (158), Paka (135) dan Kuala Terengganu (129), selain Tanah Merah (112) dan Kota Bharu (105) di Kelantan.

Kesemua 25 sekolah yang ditutup di Putrajaya pada Khamis dan Jumaat lepas akibat jerebu akan kembali beroperasi seperti biasa hari ini.

Di Perak dua daripada lima penerbangan yang dijadual di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) terpaksa dibatalkan hari ini susulan jerebu.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. - Bernama