Tidak menolak mungkin ada gelatin dalam wang kertas: PPIM

Nadzim Johan
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak menolak kemungkinan terdapat gelatin dalam wang kertas Ringgit Malaysia (RM) memandangkan bahan itu kebiasaannya digunakan dalam setiap penyediaan barangan yang dihasilkan termasuk cat, gam dan dakwat.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, dalam apa-apa bancuhan memang ada gelatin, tetapi yang menimbulkan keraguan sama ada gelatin itu daripada bahan yang halal atau haram.

Menurutnya, dakwaan yang mengatakan terdapat lemak babi dalam wang kertas RM boleh dilihat sebagai satu proses kesedaran yang perlu ada dalam diri setiap konsumer.

"Konsumer itu sendiri kena faham barangan dipakai termasuk gelatin yang digunakan dalam penyediaan kapsul atau bahan-bahan lain termasuk kek.

"Penggunaan gelatin ini akan menjadikan bancuhan berkenaan kelihatan sempurna.

"Sebagai contoh apabila kita bancuh air buah, apabila dibiarkan seketika keladaknya akan kelihatan, tetapi keadaan sedemikian tidak akan berlaku jika dicampur gelatin," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sudah menjadi kewajipan umat Islam untuk mencari sesuatu yang halal lagi menyucikan dan kerana itu ia patut dielakkan.

Justeru katanya pemain industri yang terlibat perlu mencari gelatin yang halal bagi mengelakkan sebarang unsur was-was.

"Bank Negara Malaysia (BNM) kena kajilah, contohnya jika BNM kata kepada pembuat duit supaya menggunakan gelatin yang halal maka pihak berkenaan kena carilah sebab itu adalah perniagaan dan daripada situ timbulnya keperluan.

"Dan apabila ia satu keperluan sudah pasti ia tidak menimbulkan keraguan maka segalanya berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Pendakwah, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, hukum penggunaan wang kertas ringgit Malaysia (RM) masih dikira harus dan suci sehinggalah terdapat fatwa baharu yang mengatakan ia adalah haram atau najis.

Jelasnya, pihak yang mendakwa wang kertas RM mengandungi lemak babi perlu membuktikan bahawa ia wujud dan perlu disahkan secara tepat.

Menurutnya yang juga Pensyarah Fiqh Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Fiqh Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), keputusan berkenaan hal tersebut juga wajib diajukan kepada jabatan mufti untuk ditentukan hukumnya oleh para mufti negeri-negeri jika disahkan ada.

"Jika pihak pendakwa yang mengatakan wujud lemak babi dalam wang kertas menerusi kaedah kajian makmal yang disahkan oleh kerajaan Malaysia dan telah dikenal pasti wujud jujukan kod babi, maka di sini tidak berlaku istihalah bahkan ia dikira sebagai istihalah naqisah.

"Sekiranya ia benar-benar wujud, maka penentuan hukum perlu dibuat oleh para mufti sama ada hendak meletakkan hukumnya harus disebab umum balwa atau alhajah yang tak dapat dielakkan buat ketika ini dan perlu mencari solusi lain pada masa akan datang," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, secara dasarnya melihat kepada situasi sekarang perkara ini pastinya tidak berlaku lagi. Justeru gunalah wang kertas RM tanpa was-was dan sebarang unsur syak.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati masyarakat Islam di negara ini supaya jangan mudah bersikap kelam kabut dalam isu ini.

"Nasihat saya kepada umat Islam jangan kelam-kabut dalam isu ini, tetapi serahkan isu ini kepada para mufti untuk menentukan hukumnya.

"Jangan cepat menghukum sebelum para mufti menentukan hukum setiap isu-isu yang bersifat semasa," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pensyarah daripada Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Zhari Ismail mendakwa wang kertas RM didapati mengandungi lemak babi.

Katanya, beliau mendapat maklumat tersebut daripada salah seorang pemain industri itu sendiri yang mengatakan bahawa lemak babi ada digunakan dalam proses penghasilan wang kertas negara.

Walau bagaimanapun, BNM sedang mengkaji dakwaan tersebut selepas pihak Zhari memanjangkan isu tersebut kepada mereka untuk tindakan lanjut.