Jerebu: KPM saran manfaat belajar dalam talian

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Sekolah disarankan untuk mengambil tindakan proaktif meneruskan pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dengan memanfaatkan portal EduwebTV dan portal pembelajaran digital berikutan arahan penutupan sekolah akibat jerebu.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, kemudahan menerusi pelantar pembelajaran digital (portal.moe.edu.my atau portal.moe-dl.edu.my) dan portal EduwebTV (eduwebtv.moe.edu.my) yang disediakan kementerian itu boleh digunakan secara percuma.

"Semua guru dan murid boleh mengakses menggunakan ID log masuk (ID login) yang telah dibekalkan kepada mereka. "Melalui portal ini, mereka boleh mengakses bahan pembelajaran seperti buku teks digital dan sumber pendidikan lain bagi membuat latihan dan tugasan secara individu mahupun berkumpulan serta melaksanakan pentaksiran,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, portal EduwebTV mengandungi sumber pendidikan digital dalam bentuk video kurikulum meliputi pra sekolah hingga sekolah menengah dan guru serta murid boleh mengakses portal itu untuk mencari maklumat topik berkaitan sebagai pusat rujukan setempat.

Sekolah di beberapa negeri seluruh negara ditutup pada Khamis dan Jumaat (19 hingga 20 September) selepas keadaan jerebu bertambah buruk dengan indeks pencemaran udara (IPU) mencapai tahap sangat tidak sihat.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. - Bernama