Pakatan dalam politik Malaysia

A
A

MINGGU lalu sejarah baharu tercatat dalam landskap politik negara. Dua parti siasah Melayu terbesar negara, UMNO dan Pas, akhirnya kembali bekerjasama buat kali kedua. Ini berlaku selepas kali pertama mereka bekerjasama dan bersama membentuk Barisan Nasional (BN) pada tahun 1972 sebagai sebuah grand coalition pelbagai kaum menggantikan Parti Perikatan yang sebelumnya hanya dianggotai UMNO, MCA dan MIC.

Kali ini, kerjasama itu dimeterai atas nama ‘Penyatuan Ummah’: satu kesedaran yang timbul apabila dua parti bersetuju bahawa ada ancaman terhadap agenda Melayu-Islam yang juga teras kepada perjuangan kedua-dua parti itu dalam era Malaysia baharu ini. Sebagai pemerhati politik, alasan yang dikemukakan itu memang ada asasnya. Tetapi untuk menerima mentah-mentah alasan tersebut bagi menjustifikasikan penyatuan dan kerjasama politik UMNO-Pas barangkali terlalu lemah dan masih boleh diperbincangkan secara ilmiah.

Sejarah telah mengajar kita betapa pragmatik dan dinamiknya sifat parti politik di Malaysia. Pembentukan gabungan dan pakatan sudah wujud dalam politik kita sebelum merdeka lagi. Faktor kemajmukan masyarakat di Malaysia yang menjadikan taburan undi terpecah antara kaum masing-masing menjadikan persaingan merebut undi dan kuasa politik sangat sengit. Dengan komposisi kaum yang agak seimbang, mendapatkan majoriti bagi membentuk kerajaan adalah sukar. Sebab itu gabungan perlu dilakukan.

Fabrik politik yang bersifat zero-sum juga menyumbang kepada itu. Umum mengetahui bahawa dalam politik tiada apa yang kekal. Dalam politik juga tiada istilah kawan mahupun lawan, yang ada hanyalah kepentingan. Secara mudah kepentingan (baca: kuasa) menjadi angkubah utama dalam setiap tindakan aktor-aktor politik. Sebab itu apabila UMNO-Pas bergabung, ia tidak mengejutkan mana-mana pemerhati politik, malah barang kali reunion Tun Dr Mahathir Mohamad – Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Harapan (PH) lebih dramatik dan mengejutkan semua berbanding penyatuan itu.

Sebab itulah juga Aristotle menyebut manusia sebagai ‘haiwan politik’ disebabkan aktiviti politik manusia bersifat ‘kehaiwanan’ berbanding kemanusiaan akibat kecenderungan aktor politik untuk mengetepikan faktor etika, moral dan prinsip dalam berpolitik.

Apapun naratif penyatuan UMNO-Pas, penyatuan kedua-duanya sudah tentu bakal memberi perspektif baharu kepada politik negara. Setelah tumbangnya BN pada PRU14, ramai yang melihat ia sebagai peralihan seismik politik ke arah persaingan dua parti. Berbanding terdahulu, BN sebagai sebuah gabungan terlalu ampuh untuk ditumbangkan secara bersendirian oleh mana-mana parti lawan.

Keupayaan BN membentuk satu gagasan besar tanpa bersandarkan kepada mana-mana ideologi secara spesifik ditambah pula dengan kemampuannya mengolah kefahaman terhadap elemen perkauman dalam bentuk yang lebih positif dan praktikal telah membolehkan BN mendominasi lawannya dengan mudah.

Sebab itu Pas bijak apabila memulakan bibit-bibit penyatuan pada tahun 1999 menerusi Barisan Alternatif (BA) bagi mencabar BN pasca era reformasi 1998. BA ditubuhkan bukan sahaja bagi mencabar BN dalam pilihan raya itu, tetapi turut mengukuhkan parti pembangkang dalam satu pakatan yang tersusun sekali gus telah membuka jalan kepada kewujudan sistem dua parti dalam politik Malaysia. Cuma sayang apabila pakatan yang dipelopori Pas bermula dengan BA 1999, Pakatan Rakyat (PR) 2008 dan PH 2018 berjaya menumbangkan BN, Pas tiada bersama PH dalam kejayaan itu.

Sebab itu penyatuan UMNO-Pas ini mengingatkan penulis kepada andaian pengkaji politik Malaysia bernama R S Milne. Dalam salah satu karyanya, beliau telah meramalkan bahawa seiring dengan kemajuan Malaysia, ada kemungkinan sistem parti politiknya juga akan berubah ke arah sistem dua parti seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Cumanya sistem dua parti yang bakal wujud itu nanti menurut beliau berbeza dengan AS dan UK kerana ia akan mengikut aliran ras atau agama. Ramalan yang dibuat oleh Milne sekitar tahun 1977 nampaknya sudah muncul pada tahun 2019. Persoalannya adakah pakatan UMNO-Pas ini mampu mencabar PH dalam landskap politik Malaysia baharu dengan kerangka Melayu-Islam? * Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Pembentukan gabungan dan pakatan sudah wujud dalam politik kita sebelum merdeka lagi."