X

Kindly register in order to view this article
!

PM Britain diberi tempoh selama 12 hari

Rinne (kiri) memaklumkan beliau dan Macron (kanan) bersetuju memberi tarikh akhir baharu kepada Johnson.
A
A

HELSINKI - Perdana Menteri Britain, Boris Johnson diberi tempoh selama 12 hari untuk mengemukakan rancangan Brexit beliau kepada Kesatuan Eropah (EU), menurut Finland yang memegang jawatan Presiden blok itu semalam.

Perdana Menteri, Antti Rinne berkata, beliau dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron bersetuju untuk memberikan tempoh kepada Britain sehingga akhir September ini.

"Kami sepakat sudah sampai masanya Johnson kemukakan cadangannya secara bertulis.

"Jika tiada cadangan kami terima sehingga hujung bulan ini. Segalanya dianggap berakhir," katanya.

Sementara itu, sumber Downing Street memaklumkan kerajaan akan terus berunding tentang Brexit dan mengemukakan cadangan pada masa yang sesuai.

Difahamkan, terdapat beberapa cadangan dibuat sebagai alternatif kepada backstop yang pada asalnya bertujuan untuk memastikan sempadan Ireland terus dibuka ia kekal menggunakan peraturan dan undang-undang EU seperti yang dipersetujui dalam perjanjian dibuat bekas Perdana Menteri, Theresa May bersama blok terbabit pada tahun lalu.

Sebelum ini, bekas Datuk Bandar London itu pernah berkata, kesepakatan dijangka dapat dicapai pada sidang kemuncak penting pemimpin EU pada 17 Oktober depan.

Beliau juga menegaskan Brexit akan direalisasikan mengikut tarikh akhir pada 31 Oktober depan walaupun tanpa perjanjian.

Johnson berulang kali menolak untuk mendedahkan butiran tentang cadangan perjanjian baharu dengan memberi alasan beliau enggan berunding secara terbuka.

EU terus mengkritik UK kerana masih belum kemukakan sebarang rancangan tersebut secara bertulis.

Terdahulu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker turut mengesahkan pertemuan dengan Johnson pada Isnin lalu menunjukkan perkembangan yang positif. - Agensi