KPDNHEP cacat RM12.6 juta nilai rampasan minyak masak tahun ini

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan melalui tindakan penguatkuasaan yang telah dijalankan berkaitan pelbagai kesalahan melibatkan minyak masak sebanyak 106 kes telah dikesan dengan nilai rampasan sebanyak RM12.6 juta pada tahun ini.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Muez Abd Aziz berkata, jumlah tersebut adalah setakat Ogos tahun ini dan ia dilihat lebih tinggi berbanding nilai rampasan sebanyak RM602,376 pada 2018.

Menurutnya, menerusi kerjasama baik daripada pelbagai agensi penguatkuasaan sebanyak 44 kes serahan pelbagai agensi luar telah dicatatkan pada tahun 2018 dan 13 kes serahan dicatatkan pada tahun 2019.

"Sebagai mencerminkan keseriusan KPDNHEP dalam menangani ketirisan subsidi ini sebanyak 10 buah syarikat pembungkus minyak masak telah dikenakan tindakan pembekuan kuota kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan yang serius di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kami berharap tindakan-tindakan yang telah dan sedang diambil mampu mengurangkan penyeludupan keluar minyak masak ke negara jiran sekaligus menyelamatkan peruntukan subsidi negara," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Utusan Malaysia melaporkan wujud pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap subsidi yang diberikan kerajaan ke atas minyak masak peket sekilogram dengan menjana pendapatan sehingga RM300,000 sebulan dengan menyeludupnya ke luar negara.

Mengulas lanjut, Muez berkata, Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasa (BPGK) KPDNHEP juga telah menubuhkan pasukan khas bagi memantau isu ketirisan minyak masak.

"Pasukan ini bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan dan naziran dokumentasi yang lebih menyeluruh. Pasukan khas ini telah berjaya menghasilkan sebanyak 43 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, BPGK telah membangunkan Pelan Tindakan Membanteras Barang Kawalan Bersubsidi Di Sempadan yang melibatkan empat negeri di sempadan iaitu negeri Perak, Kedah, Kelantan dan Perlis sebagai panduan untuk memperkukuhkan penguatkuasaan ke atas barang kawalan bersubsidi di sempadan," katanya.

Menjelaskan mengenai jumlah syarikat yang terlibat dengan pembungkusan minyak masak beliau berkata, sehingga Julai 2019, terdapat 290 syarikat terlibat dalam skim itu.

"Jumlah ini berubah dari masa ke semasa bergantung kepada prestasi syarikat-syarikat tersebut di mana semua syarikat terikat dengan terma dan peraturan skim penstabilan minyak masak yang ketat. Syarikat yang tidak melepasi tahap prestasi yang baik akan dinilai semula kedudukan kuotanya.

"KPDNHEP juga mengawal selia pembekalan minyak masak di setiap peringkat rantaian edaran melalui regim pelesenan barang kawalan. Kaedah ini membolehkan kawalan yang lebih berkesan ke atas pengedaran minyak masak," katanya.