Malaysia akan nyatakan kebenaran di UNGA: Dr Mahathir

Dr Mahathir berucap pada sidang media sempena Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai anti-rasuah (JKKMAR) di Putrajaya. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Dr Mahathir berucap pada sidang media sempena Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai anti-rasuah (JKKMAR) di Putrajaya. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan menyatakan kebenaran pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York minggu depan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita akan mengkritik bila kita perlu mengkritik dan kita juga akan memberi pujian terhadap perkara tertentu yang telah dilakukan oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)," katanya semasa ditanya mengenai isu yang akan dibangkitkannya pada perhimpunan itu.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini, Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan menemui Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semasa di New York.

"Saya tidak akan bertemu Trump tetapi saya akan berucap di sana, saya juga akan bertemu dengan ramai pemimpin," katanya.

Mengenai rang undang-undang pembiayaan politik, Dr Mahathir berkata, undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi kerana ia penting untuk memastikan jumlah yang diberikan kepada parti-parti politik tidak akan dikaut pemimpin-pemimpin tertentu.

"Pada masa ini, orang boleh memberi wang kepada beberapa pemimpin yang mendakwa mewakili parti mereka tetapi mungkin masuk ke dalam poket mereka sendiri.

"Kita mahu tahu berapa banyak wang yang masuk ke dalam parti-parti politik, sama ada ia benar-benar merupakan sumbangan," katanya.

Pada Selasa, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilaporkan sebagai berkata, undang-undang mengenai pembiayaan politik dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

Artikel Berkaitan:

Abu Kassim berkata, rang undang-undang itu adalah antara undang-undang dan peraturan baharu yang diperkenalkan untuk melengkapkan inisiatif lain untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bebas rasuah. - Bernama