Perang Iran-Arab Saudi sudah bermula?

Kejadian serangan ke atas kemudahan minyak Saudi itu menjejaskan separuh keluaran minyak global. -Foto Agensi
Kejadian serangan ke atas kemudahan minyak Saudi itu menjejaskan separuh keluaran minyak global. -Foto Agensi
A
A
A

SHAH ALAM - Dunia dikejutkan dengan pendedahan beberapa jam lalu oleh Kementerian Pertahanan Arab Saudi bahawa serangan ke atas loji minyak mereka adalah dilancarkan oleh Iran, bukannya dari Houthi di Yaman.

Rentetan itu, Arab Saudi dan Iran kini semakin tuduh-menuduh dan dibimbangi perang antara kedua-dua buah negara itu bakal berlaku.

Menurut Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi, Arab Saudi pula khususnya Putera Mahkota Mohammed Salman jelas menyifatkan ‘serangan Iran’ ini sebagai ‘tidak boleh diterima’ dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama menentang ancaman berterusan rejim Iran.

"Iran bagaimanapun menafikan penglibatan mereka dan memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas dengan serta-merta jika disabitkan dengan serangan tersebut.

"Komander Aeroangkasa Pengawal Revolusi Iran (IRGC) Amirali Hajizadeh sebelum ini turut memberi amaran bahawa Iran bersiap siaga untuk peperangan skala penuh dan aset ketenteraan milik Amerika Syarikat kini berada dalam jangkauan misil mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Abdul Muein, dari segi kekuatan ketenteraan, Iran memiliki kelebihan dalam aspek jumlah anggota tentera, jumlah aset tentera laut dan kereta kebal manakala Arab Saudi memiliki kekuatan dari segi kekuatan tentera udara yang lebih besar dan aset yang lebih moden.

"Sumber Al-Jazeera pada 2018 iaitu SIPRI, Jane’s, Trading Economics, dan Globalfirepower melaporkan bahawa jumlah anggota tentera Iran adalah seramai 934 ribu orang berbanding 256 ribu orang sahaja bagi Arab Saudi," katanya.

Mengulas lanjut Muein berkata, dari segi jumlah kekuatan tentera udara, Arab Saudi memiliki sebanyak 844 unit aset, berbanding 505 milik Iran.

Artikel Berkaitan:

"Kekuatan aset tentera laut Iran iaitu sebanyak 398 unit jauh mengatasi kekuatan aset Arab Saudi yang hanya berjumlah 55 unit.Kekuatan kereta kebal Iran sebanyak 1650 unit sedikit mengatasi Arab Saudi yang memiliki 1142 unit.

"Perbelanjaan ketenteraan Arab Saudi direkodkan jauh mengatasi Iran iaitu sebanyak USD 56 bilion pada 2018 sahaja berbanding USD 7 bilion oleh Iran.Namun begitu, Iran turut memiliki kelebihan tambahan dari segi sekutu serantau seperti Iraq, Syria, Hezbollah di Lubnan, dan Houthi di Yaman," katanya.

Menyimpulkan perkara itu Muein berkata, sejauhmana Arab Saudi akan menggunakan kes ini sebagai ‘Casus belli’ iaitu rasional sah untuk melancarkan serang balas berskala besar ke atas Iran ini hanya masa yang menententukannya.

"Segalanya kini terletak di tangan ALLAH yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui," katanya.