X

Kindly register in order to view this article
!

Roboh rumah: Penindasan kepada rakyat

Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kecil: Rizam Ismail
A
A

SHAH ALAM - Pembangkang kesal dengan tindakan kerajaan negeri merobohkan rumah penduduk di Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir semalam.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, tindakan perobohan itu disifatkan penindasan kepada rakyat.

"Sepatutnya ada perbincangan antara kerajaan negeri dan penduduk yang memberikan keputusan 'menang-menang' antara kedua-dua pihak sebelum tindakan perobohan dilaksanakan.

"Atas prinsip kemanusiaan, saya minta keprihatinan kerajaan negeri segera selesaikan masalah tempat tinggal kepada mangsa perobohan rumah termasuk berjumpa penduduk bagi menyelesaikan segala keputusan yang akan diambil kelak," katanya dalam satu kenyataan dii sini hari ini.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, beliau amat simpati dengan nasib menimpa penduduk di kawasan itu selepas kerajaan negeri merobohkan kediaman penduduk tanpa notis pemberitahuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerja perobohan rumah penduduk ditangguh sehingga 16 September

"Makluman awal yang saya terima ialah perbincangan antara kerajaan negeri dan wakil penduduk telah bersetuju untuk menangguhkan proses perobohan rumah ini sehingga November depan.

"Perkara ini selepas mengambil kira rayuan penduduk yang mempunyai anak yang akan menghadapi peperiksaan besar tahun ini seperti UPSR, PSRA, PT3, SPM dan STPM," katanya.

Rizam berkata, penduduk bukan tidak bersetuju berpindah tetapi memohon sedikit masa lagi untuk mereka bersedia.

"Penduduk Sungai Kedondong ini juga dijanjikan penawaran sebuah Rumah Selangorku sebagai ganti tetapi rumah ini dijangka siap pada tahun 2021 dan sehingga kini tiada lagi pembinaan di kawasan yang ditawarkan.

"Selain itu, penduduk juga tidak ditawarkan penempatan sementara dan pampasan atau duit sewa kepada keluarga mangsa," katanya.

Semalam, ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, operasi merobohkan rumah yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor itu dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat.

Menurutnya, pelaksanaan perobohan itu sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2008 lagi dan penduduk terlibat telah menerima notis pertama sejak tahun 2015.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah dirobohkan mengikut prosedur, kata ADUN Paya Jaras


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!