'Mimpi abah, ibu hidup semula'

Muhammad Akmal Mohd Hanafi
Muhammad Akmal Mohd Hanafi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata akibat nahas yang menimpa kedua ibu bapa mereka itu mengakui masih rindukan kelibat insan yang disayangi.

Muhammad Akmal Mohd Hanafi, 12, berkata dia turut mimpikan bapa, Mohd Hanafi Ismail, 37 dan ibunya Salimah Mohd Shafie, 40, yang maut dalam kemalangan di Jalan Kota Tinggi - Mersing di Jemaluang pada 13 September lalu.

"Malam semalam saya mimpi abah dan ibu ada semula (masih hidup). Mungkin sebab saya sentiasa fikir tentangnya sebab rindu.

"Paling saya tak boleh lupa, pagi-pagi sebelum ke sekolah saya akan salam dengan ibu dan abah. Mereka pernah pesan suruh belajar rajin-rajin, jadi polis pun ok. Kalau rindu, saya berdoa," katanya.

Datuknya, Mohd Shafie Mohamad, 72, ketika ditemui berkata, Muhammad Akmal dana kakanya, 17, masih lagi terkesan dengan pemergian ibu bapa mereka malah akan menangis jika berdepan dengan orang ramai.

Mohd Shafie Mohamad
Mohd Shafie Mohamad

"Saya ambil tanggungjawab untuk menjaga mereka selepas ini. Selama ini pun mereka menetap bersama saya, jadi tidak ada masalah sangat. Cuma mungkin buat masa ini, rasa sedih itu masih ada, itu biasa. Kita kena reda," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Muhammad Akmal dan Nor Syazwany bersama ahli keluarganya hadir ke Sekolah Menengah Agama Khairiah bagi menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM4,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sumbangan itu disampaikan Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin dan Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Muhammad Akmal (dua dari kanan) dan Nor Syazwany (tiga dari kanan) menerima Faedah Pengurusan Mayat daripada Mohd Nurkhuzaini (tengah).
Muhammad Akmal (dua dari kanan) dan Nor Syazwany (tiga dari kanan) menerima Faedah Pengurusan Mayat daripada Mohd Nurkhuzaini (tengah).

Farihah berkata, memandangkan kedua-dua anak pasangan berkenaan menjadi yatim piatu pada tarikh serentak mereka dijadikan anak angkat Perkeso.

"Kedua-dua ayah dan ibu mereka ialah pencarum Perkeso. Selain mendapat faedah pencen tersendiri bermula 1 Oktober ini, anak-anak ini dijadikan anak angkat Perkeso.

"Mereka akan diberikan pemantauan daripada segi kebajikan terutamanya dalam pelajaran sehingga mereka boleh berdikari," katanya.

Menurutnya, pencen yang diterima itu akan dibayar sehingga kedua-dua beradik itu berusia 21 tahun atau jika melanjutkan pelajaran sehingga peringkat universiti.

"Perkeso akan bayar pencen itu sehingga ijazah pertama bagi kedua-duanya," katanya.