Jerebu: Jangkitan mata, saluran pernafasan meningkat di NS

S Veerapan
S Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Jangkitan mata dan saluran pernafasan atas (URTI) dilaporkan meningkat sepanjang tempoh kualiti udara dilaporkan tahap tidak sihat.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, peningkatan berlaku pada minggu ke 37 iaitu 8 hingga 14 September berbanding minggu sebelumnya.

"Terdapat tiga penyakit yang dipantau semasa jerebu iaitu jangkitan mata, URTI dan asma di semua fasiliti kesihatan sentinel.

"Di Klinik Kesihatan Nilai, bilangan kes jangkitan mata (konjunktivitis), yang dilaporkan menunjukkan peningkatan sebanyak 33 peratus berbanding dengan minggu sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bilangan kes bagi kes URTI yang dilaporkan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 29 peratus, bagaimanapun, pemantauan kes Asma tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

"Pemantauan kes di fasiliti kesihatan sentinel di daerah Port Dickson (Hospital Port Dickson dan Klinik Kesihatan Port Dickson), tidak menunjukkan sebarang peningkatan bagi kes jangkitan mata, URTI dan asma," katanya.

Katanya, bagi mengurangkan pendedahan kepada bahan pencemaran semasa jerebu, orang awam dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti di luar bangunan, terutamanya anak-anak kecil, orang-orang tua dan mereka yang menghidap penyakit respiratori dan jantung kerana mereka lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

"Sekiranya terpaksa berada di luar, hadkan kepada aktiviti yang sangat penting sahaja dan pendekkan tempoh berada di luar bangunan.

Artikel Berkaitan:

"Elakkan aktiviti fizikal yang akan meningkatkan kadar pernafasan (respiratory efforts) semasa berada di luar, sekiranya masih perlu melakukan aktiviti di luar, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan penutup hidung dan mulut.

Veerapan berkata, penggunaan topeng muka jenis N95 paling berkesan untuk kegunaan ketika keadaan berhabuk dan berjerebu untuk menapis udara yang disedut oleh manusia.

"Sungguhpun begitu, penutup hidung dan mulut tiga lapis boleh dipakai sekiranya penutup hidung dan mulut N95 tidak dapat diperolehi atas pelbagai sebab," katanya.

Bagi mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru, mereka disaran untuk datang ke klinik bagi pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.

Orang ramai boleh maklumat berkenaan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu di laman sesawang KKM dan disaran mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman APIMS.