Kes kebakaran di Tumpat: Henti sebar gambar dua kanak-kanak

Ab Rashid
Ab Rashid
A
A
A

TUMPAT - Polis menasihatkan orang ramai supaya berhenti menyebarkan gambar dua beradik yang dikaitkan dengan kebakaran yang berlaku di Kampung Padang Pohon Tanjong dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitenden Ab Rashid Mat Daud berkata, penularan gambar kedua-dua kanak-kanak terbabit tidak akan membantu siasatan.

"Serahkan tugas menjalankan siasatan kepada polis dan kami akan lakukan siasatan secara terperinci," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat hari ini.

Dalam perkembangan kes sama, Ab Rashid memberitahu, kedua-dua kanak-kanak tersebut masih berada dalam tahanan polis untuk membantu siasatan.

Katanya, berkemungkinan tempoh tahanan reman dua beradik berkenaan akan dilanjutkan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, setakat ini polis sudah mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu dalam siasatan kes ini. Jika ada perkembangan baharu kita maklumkan dengan segera," katanya.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan kanak-kanak berusia 10 dan 11 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kebakaran rumah di Kampung Padang Pohon Tanjong Tumpat sejak Jun lalu.

Artikel Berkaitan: