16 pendatang haram dari Simunul ditahan

No Image Caption
A
A
A

SEMPORNA - Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan 16 pendatang haram warga Filipina yang cuba memasuki negara ini menggunakan bot pam melalui kawasan laut Terusan Silapak, di sini tengah malam tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya mengesan pergerakan masuk bot pam dari negara jiran pada jam 12.30 tengah malam.

"Pemeriksaan awal ke atas bot menemukan 16 individu terdiri daripada 10 lelaki serta enam wanita berumur antara 30-an hingga 50-an.

"Juragan dan penumpang mengaku dari Simunul, Tawi-Tawi di selatan Filipina. Selain itu, penumpang turut mengaku membayar sejumlah wang kepada juragan untuk perjalanan ke Semporna," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pemeriksaan lanjut turut menjumpai beberapa wang Peso Filipina serta barangan peribadi penumpang dan juragan di dalam perahu.

"Nilai rampasan kes itu sebanyak RM11,490 dan kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran 2007," katanya.

Menurutnya, pada hari sama PPM turut menahan lima lelaki tanpa dokumen pengenalan diri sah dalam satu operasi di perkampungan Pulau Mabul dekat sini pada jam 11.30 malam.

Katanya, kesemua suspek berumur 22 hingga 53 tahun itu dalam keadaan mencurigakan dan bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Namun usaha mereka gagal dan mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut serta disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki daripada komuniti Palaú berusia 45 tahun dipercayai terlibat dalam aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Tobo-Tobo di sini pada jam 9.30 pagi, Isnin lepas.

"Sewaktu pemeriksaan dalam perahu suspek ditemukan 14 kilogram bom ikan pelbagai jenis selain peralatan bom ikan," katanya.

Tambahnya, nilai rampasan daripada suspek dianggarkan RM3,940 dan kes disiasat mengikut Seksyen 26(1) Akta Perikanan 1985. - Bernama