Polis NS lupus dadah bernilai RM3.6 juta

A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan hari ini melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.6 juta melibatkan 1,284 kertas siasatan.

Ketua JSJN Negeri Sembilan, Superintendan Pang Jin Lai berkata, pelupusan barang kes dadah itu merupakan perbicaraan membabitkan kertas siasatan bagi tahun 2000 hingga 2018 yang telah selesai.

"Pelupusan membabitkan dadah antaranya heroin (5082.35 gram), ganja (2915.59 gram), syabu (1542.19 gram), ketamin (222.92gram), air ketum (419.23 liter) dan lain lain jenis dadah sebanyak 20 botol.

"Kesemua dadah dibawa ke tapak pelupusan sisa toksik Pusat Kualiti Alam (Kualiti Alam Sdn Bhd) di Bukit Pelanduk dekat sini," katanya pada sidang media pelupusan barang kes di Balai Polis Sikamat hari ini.

Dalam pada itu, Jin Lai berkata, JSJN Negeri Sembilan berjaya menumpaskan beberapa kumpulan pengedar dadah di negeri ini pada 11 hingga 14 September lalu.

"Dalam Operasi Khas secara berasingan di dua daerah iaitu Seremban dan Port Dickson berjaya menahan sembilan individu termasuk seorang perempuan yang terlibat dengan pengedaran dadah.

"Kita merampas dadah jenis syabu seberat 288.3 gram), heroin (142.74gram), ketamin (52gram), pil eramin 5(18gram), pil ecstasy (12.9gram).

"Jumlah nilai rampasan dadah dianggarkan RM61,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, berdasarkan prestasi JSJN Negeri Sembilan bagi tempoh Januari sehingga Ogos lalu menunjukkan peningkatan melibatkan tangkapan kesalahan dadah berbahaya iaitu sebanyak 5,749.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah nilai rampasan dadah sebanyak RM1.5 juta dan nilai sitaan aset-aset pengedar dadah berjumlah RM3.3 juta.

"JSJN Negeri Sembilan amat serius dalam misi membanteras dadah habis-habisan dengan memfokus tangkapan pengedar dadah dan melumpuhkan ekonomi mereka dengan menyita aset yang dimiliki melalui aktiviti yang menyalahi undang-undang sedia ada.

"Bagaimana pun kejayaan ini hasil daripada komitmen dan kerjasama pegawai dan anggota JSJN serta masyarakat umum," katanya.