‘TIA ialah baby Najib’

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low berminat dengan idea penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) sejak ia dicadangkan pada 2008.

Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata demikian ketika dirujuk Minit Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 19 Disember 2008 oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari kelapan perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Amhari Efendi yang juga saksi pendakwaan kelapan berkata, beliau mengetahui sejak awal lagi pembabitan Jho Low dalam projek TIA serta penglibatannya membentangkan draf cadangan projek itu.

Muhammad Shafee turut mencadangkan bahawa idea penubuhan TIA diilhamkan oleh Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Bagaimanapun, Amhari Efendi berkata, beliau mengetahui bahawa Jho Low terbabit pada peringkat awal (cadangan penubuhan TIA) dan tidak tahu ia ialah idea Sultan Mizan Zainal Abidin.

Amhari Efendi berkata, TIA yang kemudiannya ditukar kepada 1MDB ialah 'baby' Najib.

Ketika disoal Muhammad Shafee apa yang dimaksudkan bahawa projek TIA itu 'baby' Najib, Amhari Efendi berkata, 'baby' dalam konteks itu ialah sesuatu yang penting dilahirkan dan diinspirasikan seperti projek 1MDB.

“Pada waktu itu, dalam konteks Najib akan menjadi Perdana Menteri (PM), jadi 'baby' ialah sesuatu perkara yang ingin beliau lakukan sebelum jadi PM.

Artikel Berkaitan:

"Sesuatu yang sangat rapat dengannya seperti 1MDB atau dasar. Sesuatu beliau ingin carry yang important untuknya.

“Ini adalah 'baby' beliau dan ia sangat penting baginya,” kata saksi itu.

Muhammad Shafee: Saya katakan kamu telah mengetahui lebih awal TIA bukan 'baby' kepada Najib tetapi ia idea daripada Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin)?

Amhari Efendi: Saya tidak bersetuju.

Semasa dirujuk Minit Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 12 Disember 2008, Amhari Efendi mengesahkan cadangan penubuhan TIA dengan dana permulaan sebanyak RM10 bilion untuk menjana pertumbuhan ekonomi mapan bagi negeri itu.

Minit mesyuarat itu, turut menyatakan dana RM10 bilion akan diperoleh daripada pengeluaran bon di pasaran kewangan tempatan dan luar negara dengan cadangan supaya kerajaan Persekutuan menyediakan jaminan RM5 bilion bersandarkan sebahagian daripada pendapatan minyak masa depan Terengganu.

Saksi itu mengesahkan, minit mesyuarat itu juga menyatakan penubuhan TIA adalah satu cadangan yang baik bagi memastikan pendapatan Terengganu mencukupi untuk menjana pembangunan generasi menghadapi keadaan di mana satu hari kelak negeri itu akan kehabisan sumber minyak dan gas.

Dalam pada itu, Amhari Efendi mengesahkan beliau menghadiri Mesyuarat TIA sebagai sekretariat pada 5 Mac 2009.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan memperoleh suapan RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. - Bernama