Ramai setuju Asean kenakan tindakan tegas terhadap Indonesia

Jarak penglihatan sekitar ibu kota terbatas ekoran jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan 148 iaitu tidak sihat ketika gambar ini dirakam pada 4 petang semalam. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Undian Sinar Harian menerusi Facebook menunjukkan majoriti pengguna berpendapat negara Asean perlu mengambil tindakan tegas terhadap Indonesia ekoran berlakunya fenomena jerebu di rantau ini sekarang.

Undian Sinar Harian menerusi media sosial itu sehingga malam tadi menunjukkan sebanyak 96 peratus daripada 4,400 pengguna bersetuju negara Asean mengenakan tindakan tegas terhadap Indonesia dan hanya empat peratus sahaja tidak bersetuju.

Ramai pengguna yang menyertai undian berkenaan turut meninggalkan komen bahawa hukuman tegas dapat mengelakkan kejadian berulang pada masa akan datang.

Kerajaan Indonesia dilaporkan telah menyita ladang termasuk konsesi milik syarikat asing berhubung pembakaran terbuka.

Binceq Bolat berkata, tindakan tegas perlu dikenakan kerana Indonesia seakan-akan sengaja tidak mengendahkan isu jerebu yang menyusahkan negara jiran mereka.

"Sekolah terpaksa ditutup... yang bekerja luar terpaksa menghidu jerebu, lagi-lagi yang dah berusia, sangat merbahaya. Jerebu ni hampir setiap tahun berlaku, hampir setiap tahun kena tegur," tulisnya.

Lizamcd Mcd pula mencadangkan saman dikenakan terhadap negara jiran berkenaan kerana jerebu yang berlaku menjejaskan kesihatan manusia.

Katanya, kebakaran hutan dan jerebu juga memberi kesan negatif terhadap haiwan dan ekosistem hutan.

Mohd SaifulNzm pula mencadangkan, "saman Indonesia dan mana-mana negara yg menyebabkan kebakaran hutan dan pembakaran secara terbuka sebanyak AS$1 trilion. Duit itu digunakan untuk membeli kelengkapan untuk memadam seperti pesawat dan jentera pemadam yg berkaitan untuk digunakan memadam kebakaran di seluruh Asean".

Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, isu jerebu agak sensitif kerana umum mengetahui ia berpunca daripada pembakaran terbuka yang kebanyakannya dari ladang milik syarikat Malaysia.

Undian di laman Facebook Sinar Harian.
Undian di laman Facebook Sinar Harian.

"Jadi kalau kita ambil tindakan ke atas Indonesia, negara itu akan ambil tindakan ke atas syarikat perladangan yang menyebabkan berlakunya jerebu dan kebanyakan syarikat perladangan itu milik Malaysia.

"Pada pendapat saya tindakan terbaik kita patut beri amaran kepada syarikat perladangan Malaysia yang mempunyai ladang di Indonesia dan tidak mengamalkan persekitaran yang lestari," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet bincang jalan penyelesaian jerebu esok

Pelan jangka panjang tangani jerebu perlu kerjasama negara lain: PM

Menurut beliau, syarikat perladangan yang dikenal pasti itu wajar diarah memadamkan api dan kos pemadaman ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tersebut.

"Kesalahan berpunca daripada keputusan ahli lembaga pengarah syarikat yang memutuskan untuk membakar ladang mereka sebagai kaedah membersihkan ladang masing-masing.

"Pembakaran ini berlaku tapi berlaku setiap tahun. Ia juga berkait dengan budaya pekerja di Indonesia. maknanya pekerja di Indonesia bila dia membersihkan ladang dan nak menanam semula dan sebagainya, memang mereka menggunakan kaedah pembakaran sebab itu cara yang mereka tahu dan yang paling murah," katanya.