Zionis rampas tanah Palestin

 Seorang wanita tua Palestin memeluk erat pokok zaitun yang dimusnahkan tentera Israel semasa pihak rejim merampas sebidang tanah di Tebing Barat.
Seorang wanita tua Palestin memeluk erat pokok zaitun yang dimusnahkan tentera Israel semasa pihak rejim merampas sebidang tanah di Tebing Barat.
A
A
A

BAITULMAQDIS - PALESTIN . Rejim Zionis merampas hampir 300 ekar tanah milik Palestin di Tebing Barat dalam usaha untuk memperluas penempatan haramnya di wilayah diduduki, lapor media Palestin.

Menurut laporan itu, Israel mahu menggunakan tanah yang dirampas untuk membina sebuah pos di selatan daerah Baitulaham.

Jawatankuasa Penentangan Tembok Pemisah dan Hak Palestin mengutuk keras langkah itu.

Ia juga telah membuat rayuan ke Mahkamah Agung Israel.

Semua penempatan Israel adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.

Dasar pengambilalihan dan pengembangan penempatan haram di wilayah yang diduduki mengancam seluruh budaya, keamanan, mempromosikan apartheid dan memusnahkan penyelesaian dua negara, kata Kementerian Luar Palestin pada Khamis.

Kementerian itu dalam satu kenyataan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan organisasi hak asasi manusia untuk mempertahankan kredibiliti mereka sekali gus menghentikan sikap 'double standard' serta mengambil langkah undang-undang antarabangsa untuk membawa rejim Tel Aviv ke muka pengadilan terhadap jenayah dilakukannya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa Israel mengumumkan rancangan membina ratusan unit rumah yang dikhaskan kepada Yahudi di wilayah yang diduduki secara haram di Tebing Barat.

Artikel Berkaitan:

Menurut akhbar Times of Israel, jawatankuasa yang dilantik Kementerian Pertahanan meluluskan pembinaan hampir 1,300 unit rumah di Tebing Barat, manakala 400 lagi akan diluluskan kemudian.

Undang-undang antarabangsa menegaskan bahawa Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur diduduki secara haram. – Press TV