Jerebu: 210 sekolah di Selangor ditutup hari ini

Pengawal Keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Rosmah Idris memasang notis 'Sekolah Ditutup' susulan jerebu melanda kawasan tersebut hari ini. - Bernama
Pengawal Keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Rosmah Idris memasang notis 'Sekolah Ditutup' susulan jerebu melanda kawasan tersebut hari ini. - Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 201 buah sekolah di Daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup setakat jam 12 tengah hari tadi akibat keadaan jerebu yang semakin serius di Selangor.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penutupan sekolah itu melibatkan 52 buah sekolah di Sepang, Hulu Langat (62), Kuala Langat (21), Klang (27) dan Petaling Perdana (39).

"Seramai 240,447 pelajar terlibat dalam penutupan sekolah pada hari ini dan sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Pihak sekolah diingatkan supaya mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan pelajar dan guru sepanjang masa," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 151 sekolah diarah tutup hari ini berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semalam, manakala 50 sekolah lagi ditutup berdasarkan bacaan IPU pada pagi ini.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, setakat jam 2 petang ini, bacaan IPU di Johan Setia adalah 236, Klang (196), Banting (183) dan Shah Alam (171).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 145 sekolah di Selangor ditutup esok akibat jerebu

Artikel Berkaitan: