Serangan dron: Iran jadi kambing hitam?

Serangan menyasarkan loji minyak utama di Kharais dilaporkan telah menyebabkan kemusnahan teruk.
Serangan menyasarkan loji minyak utama di Kharais dilaporkan telah menyebabkan kemusnahan teruk.
A
A
A

BAGHDAD - Kejadian serangan dron ke atas kemudahan minyak Arab Saudi telah menyebabkan Amerika Syarikat (AS) menuding jari menyalahkan Iran walaupun Teheran menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas itu.

Tindakan menyalahkan Teheran dan menjadikannya sebagai kambing hitam adalah bagi menutup kegagalan Washington untuk melindungi sekutu mereka selain merendahkan kemampuan senjata pemberontak Houthi di Yemen yang mengaku mendalang serangan tersebut pada Sabtu lalu.

Jika pemberontak Yemen mampu menerbangkan dron pada jarak sejauh 1,000 kilometer ke wilayah Saudi, ia sememangnya menyebabkan malu besar kepada AS yang kononnya menjadi 'pelindung' kepada Riyadh.

Difahamkan, Khurais adalah sasaran paling hampir dengan sempadan Yemen yang terletak sejauh kira-kira 770 kilometer.

Sehingga kini, Saudi masih belum menamakan mana-mana pelaku yang dipercayai mendalangi serangan tersebut.

Awal kelmarin, AS mengeluarkan imej satelit menunjukkan kesan kemusnahan infrastruktur berdasarkan 19 titik impak serangan di Abqaiq dan Khurais.

Ia turut mendakwa bukti menunjukkan kawasan pelancarannya adalah dari Iraq atau Iran dan bukan dari selatan Yemen.

ARTIKEL BERKAITAN: AS cuba campur tangan, balas serangan loji minyak Arab Saudi

Artikel Berkaitan:

The New York Times bagaimanapun menyatakan keraguan tentang dakwaan itu menerusi laporan mereka, 'Gambar satelit itu tidak jelas seperti yang didakwa Washington dengan beberapa gambar menunjukkan kesan kemusnahan di bahagian barat kemudahan itu. Ia bukan dari arah Iran atau Iraq'.

Wakil Khas PBB ke Yemen, Martin Griffiths turut memaklumkan Majlis Keselamatan PBB bahawa 'masih tidak jelas' siapa mendalangi serangan tersebut yang berpotensi meningkatkan risiko konflik serantau.

Sementara itu, Ketua Perikatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam satu kenyataan juga menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan yang mungkin akan meningkat susulan serangan ke atas kemudahan minyak Arab Saudi pada Sabtu lalu.

Jens Stoltenberg berkata, beliau sangat khuatir tentang risiko peningkatan konflik di rantau terbabit dan menggesa kesemua pihak supaya mengelakkan serangan sama berulang pada masa depan.

Beliau bagaimanapun sependapat dengan Amerika Syarikat (AS) menyalahkan dan mengutuk Iran kerana meningkatkan keganasan di Asia Barat.

"Iran menyokong kumpulan pengganas yang berbeza dan bertanggungjawab menyebabkan ketidakstabilan di seluruh rantau terbabit," ujarnya ketika sidang media di Baghdad. - Agensi