Orang asli di Jeli terima lebih 200 baka ayam organik

Mustapa menyerahkan baka ayam organik, makanan serta bekas air kepada salah seorang penerima di sini semalam.
Mustapa menyerahkan baka ayam organik, makanan serta bekas air kepada salah seorang penerima di sini semalam.
A
A
A

JELI - Lebih 200 baka ayam organik diagihkan kepada 11 ketua isi rumah (KIR) masyarakat orang asli di Rancangan Kampung Baru (RKB) Sungai Rual di sini semalam.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, agihan fasa pertama melibatkan 20 ekor baka ayam organik kepada setiap peserta itu antara usaha untuk membantu menjana pendapatan tambahan masyarakat orang asli di perkampungan berkenaan.

"Peringkat pertama hari ini kita agihkan kepada 11 peserta sebelum diikuti 39 peserta lagi sedikit masa lagi.

"Bukan sahaja anak ayam, tapi kita bekalkan bersama reban dan makanan serta tempat letak air supaya mereka boleh terus mulakan projek ternakan ini secepat mungkin," katanya.

Terdahulu, Mustapa hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Orang Asli RKB Sungai Rual Jeli sempena sambutan Hari Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, beliau mendapat idea memperkenalkan projek ternakan ayam organik buat pertama kalinya kepada masyarakat orang asli bagi membantu mereka menjana pendapatan daripada sumber yang pelbagai.

Dalam majlis sama, Mustapa turut melancarkan dan menyerahkan bantuan bagi projek tanaman sayur-sayuran kepada murid orang asli Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rual.

"Projek ini akan melibatkan 110 atau semua murid sekolah berkenaan, sebagai galakkan supaya mereka makan lebih banyak sayur selain dijual untuk menjana pendapatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam majlis sama, seramai 215 KIR menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada Petron Malaysia yang disampaikan Pengurus Perhubungan Korporatnya, Aliza Azimah Ahmad.

Aliza Azimah berkata, pihaknya memperuntukkan sejumlah RM5,000 untuk tujuan berkenaan dalam usaha meringankan beban semua penerima di perkampungan berkenaan.