Metafizik? Ilmu makhluk asing?

A
A
A

ILMU falsafah terbahagi sekurang-kurangnya kepada tiga bidang asas iaitu epistemologi, metafizik dan etika. Pasti ada yang ternganga: "Apa makna semua ini? Istilah makhluk asing!"

Penulis faham ilmu falsafah memang pun bagi rakyat Malaysia adalah seasing makhluk asing! Artikel ini akan jelaskan serba sedikit bidang metafizik. Moga rakyat marhaen pun boleh faham.

Apa itu metafizik? Yang pertama, ia bukan fizik! Kalau anda pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan anda beli buku metafizik, anda pasti kecewa kerana anda takkan jumpa topik-topik fizik di dalamnya. Kalau baca buku metafizik sahaja, anda pasti kantoi subjek fizik dalam SPM!Untuk jelaskan makna metafizik, kita kaitkannya dengan Rukun Negara yang pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan. Sekilas pandang, kenyataan ini mudah difahami oleh semua walaupun pelajar sekolah tadika. Tapi cuba tanya soalan ini: "Tuhan wujud, manusia pun wujud, gelombang elektromagnet juga wujud, negara Jordan pun wujud maka adakah hakikat semua kewujudan itu sama?"

Mungkin ada yang jawab bahawa hakikat kewujudan Tuhan dan kewujudan makhluk tidak sama. Wujud Tuhan adalah bersifat wajib, mesti. Tuhan wajib atau mesti wujud. Kalau Tuhan tak wujud, alam takkan wujud.

Maka hakikat kewujudan alam dan makhluk-makhluk lain hanya bersifat kemungkinan sahaja. Kalau ibu bapa saya tak wujud, saya tak akan wujud. Wujud saya bergantung kepada kewujudan kedua ibu bapa saya. Kemudian kewujudan ibu bapa saya pula bergantung kepada kewujudan ibu bapa mereka dan seterusnya.

Maknanya kewujudan saya hanya satu kemungkinan kerana ia bergantung kepada kewujudan yang lain. Kewujudan Tuhan tidak bergantung kepada yang lain. Tuhan kekal wujud walaupun seluruh alam tak wujud.

Konsep pembahagian hakikat kewujudan kepada wujud yang wajib dan wujud yang mungkin adalah hasil falsafah Ibnu Sina tentang metafizik. Metafizik adalah suatu bidang yang mengkaji hakikat kewujudan. Bidang ini sangat luas teramat luas.

Kita beri contoh kedua metafizik. Apakah hakikat kewujudan manusia dan kewujudan buah epal benar-benar berbeza antara satu sama lain? Ada ahli falsafah berpendapat bahawa manusia dan seluruh alam ada persamaannya kerana pada hakikatnya, semua dibuat daripada atom!

Artikel Berkaitan:

Maknanya kalau anda mempunyai mata teleskop berkuasa tinggi, anda akan lihat sebenarnya isteri anda hanyalah satu jasad yang dibuat daripada atom-atom yang bercantum untuk membentuk satu struktur fizikal unik yang anda kenal sebagai isteri anda.

Anda juga akan nampak bahawa setiap saat atom-atom yang membentuk jasad isteri anda berubah-ubah posisi dan tidak duduk diam. Maka setiap saat kita semakin tua sebenarnya. Inilah hakikat kewujudan kita!

Bila anda lihat buah epal, meja, kucing, rupanya seluruh alam juga dibuat daripada atom-atom yang berubah-ubah. Maknanya hakikat kewujudan seluruh alam adalah berubah-ubah.

Kalau semua berubah-ubah, maknanya semua dalam pergerakan. Seluruh alam bergerak tanpa henti setiap saat. Jangan perasan yang anda cantik selama-lamanya. Setiap saat jasad anda sebenarnya bergerak ke arah menjadi bangkai atom!

Maka, timbul soalan, kalau seluruh alam ini berubah dan bergerak, bagaimana dengan Tuhan? Adakah Tuhan pun berubah dan bergerak?

Aristotle memberi pandangan yang pelik. Oleh kerana setiap pergerakan memerlukan penggeraknya, maka apakah yang menggerakkan seluruh alam ini? Maka, Aristotle pun berkata bahawa Tuhan adalah penggeraknya yang pertama.

Tetapi adakah Tuhan itu sendiri bergerak? Pergerakan adalah perubahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lain seperti dari muda ke tua. Ini bermakna setiap yang berubah memiliki kekurangan. Tuhan adalah Maha Sempurna.

Maka bagi Aristotle, Tuhan tak mengalami perubahan. Oleh kerana Tuhan tak berubah, maka Tuhan tak bergerak! Tuhan adalah Penggerak yang tak bergerak (Unmoved Mover)! Tuhan hanya gerakkan alam tetapi Tuhan sendiri tidak bergerak.

Sudah tentu, kenyataan itu bercanggah dengan banyak ajaran agama.

Maka apakah metafizik yang sejahtera? Apakah negara Malaysia akan mengemukakan metafizik yang mampu membawa pandangan hakikat kewujudan yang lebih menjaga kesejahteraan manusia sejagat?

Maknanya kewujudan saya hanya satu kemungkinan kerana ia bergantung kepada kewujudan yang lain. Kewujudan Tuhan tidak bergantung kepada yang lain. Tuhan kekal wujud walaupun seluruh alam tak wujud."*Xifu Naser Tun Rahman ialah Pensyarah Pemikiran Kritis di UIAM