Kerajaan akan beri tumpuan lebih kepada Sabah, Sarawak: PM

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu sempat berswafoto bersama ahli-ahli Bersatu ketika menghadiri majlis Berambeh Bersatu Sarawak hari ini. Foto: Bernama
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu sempat berswafoto bersama ahli-ahli Bersatu ketika menghadiri majlis Berambeh Bersatu Sarawak hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Pusat akan memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan di Sarawak dan Sabah selaras Wawasan Kemakmuran Bersama yang baharu diperkenalkan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga mengakui bahawa keadaan di kedua-dua negeri berkenaan masih kurang diberi tumpuan berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

“Kita dapati kerajaan sebelum ini tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada negeri Sarawak. Kalau kita bandingkan kita lihat keadaan di Sarawak ini yang kaya dengan minyak tetapi pembangunan tidak diagih sama rata antara rakyat di negeri Sarawak sendiri dan antara Sarawak dan Semenanjung.

“Ini kita tentukan daripada kajian-kajian yang kita telah lakukan bahawa kita perlu beri tumpuan lebih kepada Sarawak dan Sabah supaya rakyat di negeri-negeri ini akan dapat layanan sama dengan Semenanjung,” katanya dalam ucapannya pada program Berambeh (Ramah Mesra) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak di sini hari ini.

Menurutnya, tumpuan lebih kepada dua negeri berkenaan bukan atas sebab pilih kasih.

“Tetapi kerana kenyataan sebenar bahawa walaupun negeri Sarawak negeri besar daripada (negeri-negeri) Semenanjung tetapi pembangunannya agak ketinggalan melainkan di bandar-bandar dan di luar bandar kita dapati kedudukan tidaklah seperti kita kehendaki.

“Sebab itu satu dasar baharu telah diperkenalkan kerajaan Pusat untuk negara kita dan dasar baharu ini adalah untuk lihat agihan kekayaan secara adil dan saksama, kita ingin lihat pembangunan bersama,” katanya.

Menghuraikan lagi mengenai dasar baharu yang diperkenalkan sebaik selesai Mesyuarat Khas Kabinet Sabtu lepas, beliau berkata, pelaksanaan dasar berkenaan berbeza daripada dasar yang diperkenalkan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita nak kemakmuran bersama ini dicapai pada penghujung usaha kita, bukan di permulaan... kali ini kita ingin tentukan yang kurang bernasib baik diberi peluang hanya dengan syarat mereka dapat menggunakan sepenuhnya peluang ini, bukan untuk menjual lesen dan kontrak (yang diberikan) tetapi mereka akan berusaha sendiri.

“Malangnya mereka tidak berupaya dan tidak ada kemahiran. Untuk ini kita akan betulkan dengan cara memberi latihan, pengajaran tentang pengurusan wang mereka, tentang perniagaan mereka supaya bila dapat peluang, mereka tidak perlu jual kepada orang kaya, sebaliknya akan guna peluang itu untuk tingkat pendapatan mereka. Dengan itu jurang miskin dan kaya akan berkurangan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, wawasan berkenaan telah disusun dengan rapi supaya ia dapat dilaksanakan dengan jayanya namun berharap rakyat dapat memberi sokongan.

“Kalau kita beri peluang tetapi mereka tak ingin berusaha tingkatkan kebolehan mereka maka keadaan sediakala ini akan berterusan, tetapi kalau mereka sanggup kerja kuat melatih diri dan beramanah tidak menjual segala peluang, Insya-ALLAH mereka akan tingkatkan kejayaan sendiri.

“Kita telah berjaya menyusun dan memahami bagaimana ‘shared prosperity’ ini dapat dicapai. Ini semua kita akan dapat lakukan kerana kerajaan ini memang berminat untuk memperhambakan diri kepada rakyat tetapi rakyat juga harus menyambut cadangan ini supaya ia berjaya,” katanya. - Bernama