Penyatuan ummah lebih besar berbanding tragedi Memali

Tangkap layar laporan berita Sinar Online. Gambar kecil: Muhamad Yusof
Tangkap layar laporan berita Sinar Online. Gambar kecil: Muhamad Yusof
A
A
A

ALOR SETAR - Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur yang berlangsung pada 13 dan 14 September lalu disifatkan lebih besar berbanding tragedi Memali di Baling.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Memali Pas Kedah, Datuk Muhamad Yusof Husin berkata, himpunan itu melibatkan agenda menyelamatkan Malaysia, Islam dan orang Melayu.

Menurutnya, beliau mengakui peristiwa Memali yang mengorbankan 18 nyawa termasuk guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali Ibrahim Libya pada 1985 adalah tragedi besar namun di hadapan mereka kini ada agenda yang jauh lebih besar.

"Bukan kata kejadian Memali itu kecil kerana melibatkan yang terbunuh dan sebagainya, tetapi yang ini (perpaduan ummah) lagi besar untuk menyelamatkan Malaysia, Islam dan orang Melayu. Ini adalah satu tindakan yang tepat pada masanya. Kami orang Memali bukan pendendam sampai tidak boleh berubah.

"Peristiwa Memali berlaku dalam suatu keadaan yang lain, yang mana UMNO ketika itu dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau yang bertanggungjawab sepenuhnya. UMNO secara keseluruhan tidak melawan walaupun ada dalam kalangan mereka tidak bersetuju dengan cara itu," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad yang menyifatkan hanya orang yang tidak berhati perut akan mengatakan tragedi Memali perkara kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Memali bukan perkara kecil: Khalid

Muhamad Yusof yang juga Pengerusi Madrasah Islahiah yang diasaskan oleh Ibrahim Libya berkata, beliau turut menyokong kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang menyatakan Pas menganggap peristiwa Memali sebagai kecil berbanding agenda perpaduan melibatkan dua parti Melayu Pas dan UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Kami sokong kenyataan Datuk Takiyuddin malah ramai ahli Pas dari Kampung Memali ini turut hadir menyertai perhimpunan di PWTC pada Jumaat dan Sabtu lalu," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Yusof berkata, sekiranya Khalid bersimpati dengan tragedi tersebut, beliau menggesa Menteri Wilayah Persekutuan itu mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tragedi Memali untuk mencari kebenaran.

"Beliau sekarang ini sudah berada di dalam kerajaan yang memerintah dan jika beliau ikhlas, simpati dan berasakan peristiwa Memali itu adalah besar maka bantulah untuk menubuhkan RCI," katanya.